Tuesday 10 January 2017

Kek Coklat Encik Suami (17.05.14 - Ilham Karangkraf)

Alfian kaget apabila melihat Abirah berterusan menangis. Semakin lama semakin kuat. Dia bimbang jikalau ibu bapa mereka yang tidur di bilik bersebelahan mendengari suara tangisan Abirah. Tidak pasal-pasal nanti dia pula yang dipersalahkan. Alfian hanya mampu memandang isterinya itu. Dia benar-benar mati akal. Tidak tahu bagaimana mahu memujuk Abirah supaya berhenti menangis.
“Err, awak. Kenapa menangis ni?” lembut suara Alfian bertanya. Abirah tidak memandang namun begitu tangisannya mulai reda sedikit. Selepas mengelap airmatanya, dia mengangkat muka memandang Alfian. Dia bagaikan tidak percaya malam itu dia bakal tidur bersama Alfian. Lelaki yang hanya dikenalinya seminggu sebelum pernikahan mereka berlansung. Alfian senyum. Abirah kaget. Apakah maksud senyuman Alfian? Adakah lelaki itu berhajat untuk melakukan apa yang lazimnya sepasang suami isteri lakukan? Kecut perut Abirah.
“Awak. Awak nak buat apa kat saya?” tanya Abirah tergagap-gagap. Alfian sengih. Dia duduk bersebelahan Abirah. Pantas Abirah menjarakkan kedudukan sambil menghalang Alfian daripada mendekatinya dengan bantal. Berkerut kening Alfian melihatkan tindakan Abirah. Mata Abirah sudah bulat memandang Alfian.
“Buat apa? Kenapa dengan awak ni?” tanya Alfian pelik. Dada Abirah berdegup kian kencang.
“Awak tahu kan, saya kenal awak seminggu sebelum kita nikah. Berbual pun sikit-sikit. Jadi, saya. Saya tak sedia lagi untuk,” ujar Abirah. Kata-katanya terhenti. Alfian hanya memandang.
“Untuk apa?” tanya Alfian. Abirah meneguk air liur. Dia tertunduk malu.
“Untuk tulah. Ish,” getus Abirah. Alfian ketawa. Abirah pantas memandang wajah Alfian.
“Kenapa awak ketawa?” tanya Abirah. Alfian sengih.
“Habis tu, kalau tak buat tu. Kita nak buat apa?” Alfian sengaja mengusik. Tidak semena-mena Abirah memukulnya dengan bantal. Terkejut Alfian dibuatnya.
“Ish, pervert!” getus Abirah geram lalu memalingkan muka daripada Alfian. Bulat mata Alfian mendengarkan kata-kata Abirah.
“Apa awak kata? Saya suami awak dan saya berhak ke atas awak tahu?” balas Alfian geram sambil memandang Abirah yang sedang buat muka mencebik.
“Kita kahwin bukan atas dasar cinta. Tapi atas permintaan keluarga. Walaupun awak suami saya, awak tak berhak paksa saya!” balas Abirah sambil memandang Alfian dengan mata terjengil. Alfian pula yang mencebirkan bibir kali ini.
“Ceh! Saya pun tak ingin! Walaupun saya tak boleh paksa awak, awak tak patut panggil saya pervert. Saya buat betul-betul baru tahu,” cemuh Alfian semula. Besar mata Abirah. Dia mengetap giginya geram. Begini rupanya perangai suaminya. Pada pertemuan pertama nampak sahaja macam “cool”.
“Kalau awak tak ingin baguslah. Dahlah, saya nak tidur. Huh!” rengus Abirah lalu berbaring sambil membelakangi Alfian. Alfian mencebik. Dia tidak sangka Abirah agak kasar orangnya. Pada pertemuan pertama nampak ayu sahaja sehingga terpikat hatinya.
“Ceh! Tak sangka, aku kahwin dengan singa rupanya. Huh,” gumam Alfian sambil merebahkan badan bersebelahan Abirah lalu melelapkan mata.
******
Sudah genap tiga bulan tempoh perkahwinan Alfian dan Abirah. Namun, mereka hidup bagaikan orang asing. Alfian tidur di biliknya sendiri. Abirah juga begitu. Jika diikutkan hati Alfian, dia memang tidak mahu hidup begitu. Namun, Abirah yang mahukan begitu. Dia hanya mampu menurut. Dia faham situasi Abirah. Gadis itu perlu menghabiskan pengajian tahun akhirnya diperingkat ijazah. Ibu bapanya pula memaksa dia terikat dengan komitmen perkahwinan. Disebabkan patuh, Abirah hanya menurut. Namun, Alfian pula yang menjadi mangsa tempat Abirah melontarkan tunjuk perasaan. Nama sahaja lelaki yang sudah berkahwin, tetapi dia masih hidup seperti lelaki bujang. Alfian punya alasan tersendiri kenapa dia bertahan. Pertama, kerana tidak mahu menghampakan ibu bapanya dan juga ibu bapa Abirah. Dan kedua, dia sudah mula menyayangi Abirah sewaktu dia melafazkan akad lagi. Jadi, tidak kira bagaimana buruk sekalipun layanan Abirah terhadapnya, dia tetap akan mempertahankan rumah tangga mereka dan berdoa agar pintu hati Abirah terbuka untuk mencintainya.
“Awak,” sapa Abirah. Alfian yang sedang termenung jauh, tersentak. Pantas dia menoleh Abirah yang sedang memandangnya.
“Kenapa?” tanya Alfian. Abirah membuat muka bosan. Matanya kelihatan memandang sesuatu.
“Tu. Awak goreng telur ke rentungkan telur?” tanya Abirah sambil matanya memandang terus ke arah telur yang sedang rentung di dalam kuali. Alfian pantas mengalihkan pandangannya ke arah kuali yang berada di hadapannya. Terkocoh-kocoh dia menutup api lalu mengangkat kuali yang penuh dengan asap yang berkepul-kepul itu ke dalam sinki. Abirah hanya memandang perbuatan Alfian sambil berpeluk tubuh. Alfian terkulat-kulat apabila bertembung dengan pandangan sinis Abirah.
“Awak tak pergi kolej lagi?” tanya Alfian. Abirah geleng.
“Kelas cancel. Yang awak pergi rentungkan telur ni, awak tak pergi kerja ke?” balas Abirah. Dia mengetatkan mukanya seketat yang boleh walaupun dia sudah tidak tahan ingin mentertawakan Alfian. Alfian tersengih bagai kerang busuk.
“Saya kena terus pergi site hari ni. Jadi, saya ingat saya nak sarapan benjo sebelum pergi site. Tak sangka pulak jadi macam ni,” ujar Alfian. Akhirnya Abirah ketawa terkekeh-kekeh. Alfian memandang pelik.
“Kata pandai sangat masak. Ni apa cerita goreng telur pun rentung? Awak berangan apa? Nasib baik tak terbakar satu rumah,” bebel Abirah setelah tawanya reda. Dia yakin pasti Alfian berangan kerana dia tahu Alfian memang handal soal masak memasak. Panjang muncung Alfian.
“Habis tu, ada isteri pun isteri tak boleh buatkan sarapan,” perli Alfian. Bulat mata Abirah memandang Alfian apabila dia disindir begitu.
“Awak tak minta saya buatkan. Macam mana saya nak buatkan?” getus Abirah geram. Alfian mencebik.
“Eleh. Kalau saya minta awak buatkan pun, belum tentu awak nak buatkan,” ejek Alfian. Abirah menjeling geram.
“Baiklah encik suami. Meh saya buatkan sarapan untuk awak ya,” balas Abirah lalu menolak Alfian ketepi dan mencapai kuali untuk menggoreng telur. Alfian memerhati dalam senyuman.
******
Alfian pelik apabila melihat Abirah terbaring lesu di atas sofa ruang tamu rumah mereka pada jam 7 petang begitu. Kenapa Abirah tidur di situ? Selalunya jika gadis itu mahu tidur sekalipun, dia pasti akan tidur di bilik. Perlahan Alfian mendekati Abirah yang sedang tidur lena. Brief case di tangannya diletakkan di atas meja. Dia duduk di hadapan sofa sambil menatap wajah Abirah. Lembut tangannya membelai rambut isteri yang dicintainya itu. Alfian senyum mengenangkan hidupnya bersama Abirah. Walaupun mereka sering sahaja bertelagah, namun Abirah seorang isteri yang baik sebenarnya. Alfian memberanikan dirinya untuk menyentuh wajah Abirah. Namun tatkala menyentuh sahaja wajah Abirah, dia terkejut kerana suhu badan Abirah yang begitu panas. Barulah dia tahu kenapa Abirah berbaring di situ. Rupanya isterinya itu mengalami demam panas. Dia perlu membawa Abirah ke klinik. Jika tidak, demamnya akan bertambah teruk.
“Awak, bangun,” gesa Alfian. Perlahan Abirah membuka matanya.
“Kenapa? Pukul berapa ni?” tanya Abirah jalu. Alfian melepaskan nafasnya gusar.
“Dah Maghrib ni. Awak demam. Jom saya bawa awak pergi klinik,” ujar Alfian prihatin. Mendengar perkataan klinik, Abirah segera menggeleng.
“Tak nak,” pantas sahaja jawapannya. Alfian menggeleng. Dengan perasaan nekad, dia terus mengendong Abirah. Abirah yang lemah tidak berdaya tidak mampu melawan.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” tanya Abirah lemah. Alfian tidak menjawab. Dia segera membawa Abirah ke kereta. Setelah memasuki kereta, Alfian segera menghidupkan enjin.
“Nanti. Nanti,” arah Abirah lemah. Alfian menoleh.
“Kenapa?”
“Tudung. Awak nak biar orang tengok aurat isteri awak ke?” ujar Abirah. Baru Alfian teringat. Disebabkan terlampau kaget, dia sampai terlupa bahawa Abirah tidak memakai tudung.
“Sekejap saya ambil,” balas Alfian lalu tergesa-gesa turun. Tidak lama kemudian, dia memasuki kereta dengan membawakan tudung Abirah. Namun dia lihat Abirah sudah tidak berdaya dan memejam matanya. Pantas dia menyarungkan tudung itu di atas kepala Abirah. Entah mengapa, jantungnya berdegup kencang saat menyarungkan tudung itu di kepala Abirah. Bukan Alfian sahaja merasakan debaran itu, Abirah yang sedang lemah itu juga turut merasakannya.
******
    Disebabkan Abirah masih lemah, Alfian memutuskan untuk mengambil cuti  selama dua hari untuk menjaga Abirah. Selepas pulang dari klinik semalam, Abirah tidak mahu menjamah apa-apa makanan pun. Risau Alfian dibuatnya. Akhirnya Alfian memutuskan untuk menelefon ibu mertuanya untuk bertanyakan hidangan apakah yang membuka selera Abirah ketika gadis itu sedang demam.
    “Assalamualaikum, ma. Mama sihat?” tanya Alfian mesra.
    “Waalaikumussalam, menantu mama! Mama sihat, kamu dengan Ira macam mana?” balas Saadiah ceria. Alfian tersengih. Ibu mertuanya itu cukup sayang dengannya. Kerana dialah satu-satunya menantu wanita itu.
    “Afi sihat je ma. Ira yang tak sihat. Dia demam,” balas Alfian dengan suara gusar.
    “Ya Allah, sayang mama demam? Sejak bila?” tanya Saadiah bimbang.
    “Sejak petang semalam. Tapi, Afi dah bawa dia ke klinik dah. Cuma, sampai sekarang ni Ira tak nak makan. Afi tak tahu nak buat apa dah,” gumam Alfian. Kedengaran Saadiah mengeluh di talian.
    “Sayang mama memang macam tu, Afi. Tapi, kamu jangan risau. Kamu buatkan dia kek coklat je. Dia mesti nak makan,” ujar Saadiah. Bulat mata Alfian mendengar kata-kata ibu mertuanya.
    “Kek coklat?” tanya Alfian tidak percaya. Kedengaran suara Saadiah ketawa.
    “Ya. Kek coklat. Sejak kecil lagi, kalau Ira sakit dan tak selera makan, mama akan buatkan dia kek coklat. Lepas makan kek coklat je, dia terus selera nak makan benda lain,” jelas Saadiah. Walaupun masih tidak percaya, Alfian hanya mengangguk.
    “Tapi, kek tu kamu kena buat sendiri. Bagi dia makan masa panas-panas. Baru dia nak makan. Kalau kamu beli, dia tak akan makan,” tambah Saadiah lagi.
    “Oh. Macam tu. Kalau macam tu, Afi akan buatkan Ira kek coklat. Terima kasih mama. Assalamualaikum,” balas Alfian lalu menamatkan talian. Dia termenung sebentar.
    “Singa suka makan kek coklat? Nak yang panas-panas pula tu. Ceh, demand betul isteri kau Afi. Nasib baik aku pandai masak,” gumam Alfian sendirian sambil tersengih mengenangkan kemanjaan Abirah.
    ******
     Terkejut Alfian melihat Abirah berdiri di hadapan pintu ketika dia sedang menatang dulang berisi kek coklat yang baru sahaja keluar dari ketuhar bersama segelas teh kundur. Abirah memandang kek coklat yang ditatang Alfian dengan perasaan yang tidak percaya. Mamanya datang melawatkah?
    “Awak nak pergi mana?” tanya Alfian. Abirah membuat muka selamba. Kalau dia mengaku yang dia bangun kerana terbau bau kek coklat kegemarannya, sudah pasti dia sendiri yang malu nanti.
    “Saya nak pergi tandaslah,” balas Abirah cuba berselindung. Kecur air liurnya dengan bau kek coklat yang masih panas itu. Alfian sengih.
    “Tapi, tandas kat sebelah kiri sana,” duga Alfian. Terkena Abirah dibuatnya. Pantas dia memalingkan tubuhnya lalu berlalu ke arah tandas. Alfian hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah isterinya itu. Perlahan Alfian memasuki bilik Abirah lalu meletakkan dulang berisi kek itu di atas meja kecil bersebelahan katil Abirah.
    “Awak. Ni saya buatkan kek coklat untuk awak. Jangan lupa makan ya. Lepas makan, awak makan ubat tau. Saya nak turun bawah, nak kemas dapur,” pesan Alfian ketika Abirah berada di dalam tandas. Tidak lama selepas Alfian turun, Abirah segera keluar dari tandas.
    “Dia yang buat? Tapi, kenapa sama dengan bau kek coklat mama?” gumam Abirah tatkala menatap kek coklat cawan buatan Alfian. Dia segera mencapai satu kek coklat itu lalu disuakan ke mulutnya. Aromanya, rasanya dan teksturnya sama seperti kek coklat yang selalu dibuat oleh mamanya!
    “Tapi, kalau mama yang buat, takkanlah aku tak dengar langsung suara mama?” Abirah masih berteka-teki. Tetapi, tidak mustahil juga jika Alfian yang memasak kek coklat itu kerana Alfian memang pandai masak.
    Ketika sedang menikmati kek coklat cawan itu, dia merasakan demamnya mulai kebah sedikit. Dia juga dapat merasakan kasih sayang Alfian di dalam kek coklat itu. Tiba-tiba dia terkenangkan semua kenangannya selama dia menjalani hidup dengan lelaki itu. Dia akui, Alfian memang suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Walaupun kadang-kadang lelaki itu bersikap “annoying” namun lelaki itu tidak pernah memarahinya. Bahkan lelaki itu sering menggembirakan hatinya. Cuma dia sahaja sengaja membutakan matanya. Dia teringat bagaimana lembutnya Alfian menyarungkan tudung di atas kepalanya. Betapa kasihnya lelaki itu padanya lebih-lebih lagi tatkala mendukungnya. Sedikitpun lelaki itu tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya. Hatinya sebak.
    “Alfian. Terima kasih. Saya sayang awak,” ucap Abirah perlahan dengan juraian airmata terharu.
    ******
Berangin satu badan Abirah hari itu. Baru sahaja dia ingin melayan Alfian dengan baik. Muncul pula makhluk yang tidak diinginya. Seminggu selepas dia sembuh daripada demam, Alfian membawanya ke rumah ibu mertuanya. Dan dia tidak menyangka perkara sebegini terjadi kepadanya.
“Kek coklat abang Afi sedaplah. Nurul suka!” terngiang-ngiang kata-kata pujian sepupu Alfian itu di telinga Abirah. Mendidih hatinya.
Sepanjang perjalanan pulang, Alfian lihat wajah Abirah masam mencuka. Muncungnya pula panjang sedepa. Apa kena dengan isterinya itu? Selepas sembuh daripada demam, baik sahaja layanan Abirah terhadapnya. Hari ni, mengapa Abirah kembali menjadi dingin pula?
“Awak, kenapa ni? Masam je,” ujar Alfian perlahan. Abirah memalingkan wajahnya.
“Saya penatlah. Awak drive cepat sikit boleh tak? Ish,” rungut Abirah. Berkerut kening Alfian. Selalunya Abirah bising jika dia memandu laju. Hari itu, disuruhnya Alfian memandu laju pula?
“Okay,” itu sahaja jawab Alfian. Dia tidak mahu bertekak dengan Abirah.
******
Abirah memandang wajah Alfian yang sedang leka menonton Televisyen.
“Dia dah buat salah, tak minta maaf pun?” getus Abirah di dalam hatinya. Alfian masih lagi ralit menonton. Panjang sedepa muncung Abirah.
“Awak ada apa-apa nak beritahu saya ke?” tanya Alfian tiba-tiba. Tersentap Abirah dibuatnya. Namun, dia berterusan diam.
“Sepupu awak tu, awak rapat ke dengan dia?” tanya Abirah. Tembok keegoannya runtuh sedikit dek kerana rasa ingin tahu. Alfian memandang wajah Abirah.
“Rapat. Sejak kecil lagi. Dah macam adik beradik dah. Kenapa?” balas Alfian. Abirah mencebirkan bibir sambil berpaling daripada memandang Alfian.
“Yalah tu adik beradik. Bukan main mesra lagi. Siap buat kek sama-sama,” balas Abirah cemburu. Alfian berterusan memandang Abirah.
“Yalah. Awak tak nak buat kek sama-sama dengan saya. Dia tolonglah. Salah ke?” ujar Alfian. Abirah mengeluh.
“Tak salah, cuma,” Abirah terhenti berbicara. Dia tidak mahu Alfian tahu dia cemburu. Alfian sengih.
“Awak cemburu?” duga Alfian. Abirah pantas memandang wajah Alfian yang sedang memandangnya selamba.
“Perasan!” ejek Abirah. Alfian cuma senyum.
“Awak nak tengok TV ke tak?” tanya Alfian tidak mengendahkan ejekan Abirah. Abirah geleng. Melihat gelengan Abirah, Alfian pantas menutup suis lalu berdiri sambil memandang Abirah.
“Saya masuk tidur dulu ya. Selamat malam,” ucap Alfian sebelum berjalan membelakangi Abirah.
“Ya. Saya cemburu. Saya cemburu sebab saya dah mula sedar yang saya cintakan suami saya,” ucap Abirah tiba-tiba sambil memeluk Alfian dari belakang. Terkejutnya Alfian Allah sahaja yang tahu. Tidak lama kemudian, Abirah meleraikan pelukan. Alfian cuba memusingkan tubuhnya yang hampir beku itu lalu memandang wajah Abirah. Alfian memegang wajah Abirah dengan perasaan terharu.
“Maafkan saya buat awak cemburu. Saya tak tahu yang selama ni Nur Abirah yang saya cintai selama ni juga mencintai saya,” ucap Alfian perlahan. Mata Abirah berkaca. Pantas dia memeluk suaminya itu.
“Terima kasih, Ahmad Alfian sebab sudi jadi suami saya. Terima kasih kerana dah jaga saya dengan baik. Terima kasih kerana menyayangi saya. Terima kasih untuk semuanya,” ucap Abirah dengan linangan airmata. Alfian tersenyum gembira. Akhirnya Allah memakbulkan doanya. Perlahan dia meleraikan pelukan.
“Sama-sama isteriku sayang,” ucap Alfian sambil mengucup dahi Abirah dengan sepenuh kasih sayang.
“Saya satu soalan. Mana awak tahu saya hanya selera makan kek coklat masa demam?” tanya Abirah ingin tahu. Alfian tertawa kecil.
“Mama beritahu. Saya risau awak tak nak makan apa-apa langsung. Sedap tak?” balas Alfian. Abirah senyum.
“Sedap. Sedap sangat,” puji Abirah. Alfian senyum gembira.
“Terima kasih,” ucap Alfian. Abirah senyum.
“Sama-sama. Tapi, lepas ni, awak tak boleh bagi orang lain makan kek coklat tu melainkan saya seorang,” pesan Abirah. Berkerut kening Alfian.
“Kenapa?” tanya Alfian.
“Sebab dalam kek coklat encik suami saya, ada kasih sayang dan cinta. Saya tak nak orang lain rasa kasih sayang dan cinta tu selain saya seorang. Faham tak?” terang Abirah manja. Alfian tertawa kecil.
“Oh, patutlah jealous bila Nurul makan kek coklat tu,” balas Alfian. Abirah sengih. Tidak lama kemudian, dia juga turut tertawa bahagia sambil memeluk Alfian dengan sepenuh kasih sayang.

Wednesday 28 December 2016

Captured (03.09.16 - Ilham Karangkraf)


  “Assalamualaikum, puan Zainun. Puan dah lama sampai ke?”
  “Waalaikumussalam. Tak, saya sampai tepat pada waktu yang kita janjikan,” balas Zainun dengan senyuman.
  Gadis muda itu tersenyum lalu menghulurkan salam. Zainun menyambutnya tersenyum.
  “Awak boleh panggil saya Puan Nun saja. Saya lebih selesa begitu. Qaseh seorang sahaja?”
  Qaseh senyum lalu duduk bersebelahan dengan Zainun memandangkan kerusi itu kerusi sebaris.
  “Ya. Saya seorang aje.”
  Gadis muda itu merupakan seorang penulis skrip. Dia begitu berminat menemu ramah Zainun setelah terlihat hasil seni fotografi milik Zainun di sebuah pemeran seni. Dia benar-benar berminat ingin tahu kisah hidup Zainun kerana pada pendapatnya, gambar-gambar yang Zainun ambil bagaikan ada ceritanya yang tersendiri. Setelah melihat keikhlasan dan semangatnya, Zainun bersetuju untuk ditemu ramah.
  “Terima kasih sebab sudi terima temu ramah saya. Tapi sekadar untuk pengesahan, betul ke Puan Nun tak kisah kalau saya tulis kisah Puan Nun untuk dijadikan filem?” ujar Qaseh berhati-hati.
  Zainun menoleh ke arah Qaseh. Zainun mengukirkan senyum. Tanda jaminan bahawa dia tidak kisah.
  “Kalau saya kisah, dari awal saya tak akan terima untuk ditemu ramah. Kalau cerita saya boleh jadi inspirasi pada orang lain, tulislah dengan sebaiknya. Manfaatkan sebaiknya. Ya?”
  “Ya. Baiklah. Terima kasih sekali lagi Puan Nun. Oh ya, cantik bunga ros yang Puan Nun bawa tu. Unik warnanya,” Qaseh berkata-kata teruja.
  “Ya. Bunga ini unik dan istimewa pada saya. Bunga ros ni namanya bunga ros teh. Tapi saya ada sebab kenapa saya bawa bunga ni. Di penghujung temu ramah nanti, saya beritahu kamu sebabnya.”
  Qaseh mengangguk-angguk dengan senyuman. Pantas dia menekan penanya untuk mula dilarikan di atas kertas. Telefon pintarnya pula digunakan untuk merakam.
  “Baiklah. Kita mula sekarang ya Puan Nun,” ujar Qaseh sambil menekan butan mula pada perakam suara telefon pintarnya.
DISEMBER TAHUN 2003
Ruang pameran hari itu kelihatan makin padat dengan kunjungan dari orang ramai. Mungkin kerana hari itu hari terakhir pameran dan tambahan pula hari itu merupakan hujung minggu. Termasuk hari ini, sudah dua hari Zainun berkampung di ruang pameran itu. Sebagai seorang fotografer profesional, sudah tentu Pameran Seni Fotografi dan Lukisan itu adalah salah satu acara wajib baginya. Hari ini dia mahu menghabiskan pameran-pameran yang belum sempat dijenguknya semalam.
  Dari satu pameran ke pameran yang lain, Zainun tertarik dengan sebuah lukisan cat minyak. Dia lantas memberhentikan langkahnya lalu menghampiri lukisan itu. Lukisan itu memaparkan dua belah tangan manusia yang sedang membuat simbol kotak seolah-seolah sedang memetik sebuah ‘kamera’ ke arah sebuah pondok telefon. Sungguh, lukisan itu benar-benar menarik perhatiannya.
  “Menarik, bukan?”
  Ujar satu suara yang rasanya baru sahaja menyertai Zainun yang sedari tadi leka mengambil gambar lukisan cat minyak itu. Zainun menoleh dengan perasaan tidak berminat.
  “Ya.” itu sahaja balas Zainun lalu kembali menatap lukisan cat minyak tadi.
  Kedengaran lelaki yang menegurnya tadi ketawa kecil. Zainun menjeling ke arah lelaki itu.
  “Ada apa-apa yang kelakar ke?” tanya Zainun sarkastik.
  “Tak ada yang kelakar. Cuma tertarik betul dengar jawapan awak tadi. Saya Randy,” mesra lelaki itu berbicara.
  Zainun tarik muka. Sungguh dia tidak berminat mengenali siapakah lelaki yang bicaranya manis seperti gula itu.
  “Rasanya awak tak berminat langsung nak tahu pasal saya. Tapi, kalau awak nak tahu tentang lukisan ni carilah saya. Saya pelukisnya,” ujar Randy sambil berlalu.
  Zainun yang hanya merenung lukisan itu lantas membulatkan matanya mendengarkan kata-kata Randy. Apabila dia menoleh, lelaki itu sudahpun menuju ke aras bawah pameran. Ah! Kalau tidak kerana sikapnya yang egois itu sudah tentu dia sudah dapat menemu bual Randy. Tanpa disedari, Zainun melangkah pantas mengejar Randy.
  Namun setelah berada di ruang bawah pameran, Zainun gagal menemukan Randy.
  “Cari siapa?”
  Mendengar suara yang melantun dari arah belakang Zainun, dia lantas menoleh.
  “Cari Randy?” itu jawapan yang bolos dari mulut Zainun.
  Randy tersenyum menampakkan kedua-dua lesung pipitnya. Jejaka hitam manis itu merenung wajah Zainun. Pada perkiraan Zainun lelaki itu berumur dalam lingkungan lewat 30an.
  “Awak berminat dengan Randy atau dengan lukisan dia?”
  Mendengar soalan itu Zainun menjungkit bibirnya sedikit. Namun segera dia melemparkan senyuman.
  “Berminat dengan lukisan awak. Boleh brief kat saya pasal lukisan awak tu?”
  “Oh, boleh. Tapi sebelum tu, awak ni siapa namanya?”
  “Zainun. Fotografer dan blogger,” balas Zainun sambil menghulurkan kad namanya.
  “Oh, jadi awak ni pemilik blog Nun Zainun tu ya! Saya salah seorang peminat awak,” balas Randy teruja.
  “Ya. Terima kasih. Kalau awak tak kisah boleh tak awak brief semula kat lukisan awak tadi? Saya mahukan feelingnya meresap,” pinta Zainun.
  “Boleh. Silakan,” ujar Randy dengan senyum manisnya.
  “Lukisan ni saya lukis ketika saya rindukan seseorang yang sayang. Saya gunakan cat minyak sebab ianya bersifat kekal dan tahan lama. Saya mahu kekalkan rasa rindu saya pada lukisan ni. Pondok telefon tu tempat pertama sekali kami jumpa. Dan tangan yang membentuk kotak menghala ke pondok telefon tu adalah umpama saya sedang memetik kamera ke arah kenangan saya dan dia di pondok telefon tu.”
  Entah kenapa, penerangan ringkas Randy menyentuh hati Zainun. Namun perasaan yang menyentuh hatinya tatkala itu terasa lain macam benar getarnya. Lama Zainun merenung ke arah lukisan itu.
  “Tak sangka ada lagi lelaki macam awak ni kat dalam dunia.”
  Randy memandang wajah kosong Zainun. Komentar yang diberikan wanita itu tadi membuatkan Randy merasakan bahawa wanita ini punya tarikan yang luar biasa.
  “Maksudnya?”
  “Yalah. Pada saya, lukisan awak ni melambangkan kesetiaan. Dan saya pernah jumpa seorang sahaja lelaki yang setia dalam dunia. Selepas dia tiada lagi. Tapi, hari ni saya jumpa awak,” luah Zainun.
  Ketika ini, hadir satu perasaan dalam jiwa Randy untuk semakin mengenali dan mendekati wanita bernama Zainun itu.
  “Kenapa lelaki yang setia tu dah tak ada lagi?” tanya Randy ingin tahu.
  “Lelaki tu dah tak ada lagi. Dah tak bernafas lagi kat muka bumi ni. Faham maksud saya?”
  “Oh. Maafkan saya,” luah Randy kesal.
  Zainun senyum. “Tak apa. Apapun, terima kasih sudi berikan penerangan tentang lukisan awak. Saya akan tulis serupa dengan apa yang awak terangkan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”
  Randy gamam. Seringkas itu sahaja? Tidak mungkin dia akan melepaskan wanita itu setelah hatinya ditarik-tarik sedemikian rupa.
  “Awak dah nak balik?”
  Randy menghalang langkah Zainun dengan tubuhnya. Zainun memandang kosong.
  “Ya. Lukisan awak pameran terakhir untuk saya. Ada banyak lagi tugas menanti,” tegas suara Zainun.
  “Saya nak jumpa awak lagi, Zainun,” luah Randy.
  Gugup sebentar Zainun mendengarkan kata-kata Randy. Ah! Lelaki ini bibirnya manis benar seperti gula!
  “Urusan saya dengan awak dah selesai. Dan saya rasa saya tak perlu untuk jumpa awak lagi. Terima kasih. Assalamualaikum.”
  Dengan salam penutup bicara, Zainun melangkah pergi meninggalkan Randy. Randy melepaskan namun berdoa agar mereka dijodohkan untuk bertemu lagi.
APRIL TAHUN 2004
Jodoh mempertemukan kembali Zainun dan Randy. Kali ini di sebuah hospital.
  “Zainun?”
  Itu yang keluar dari mulut Randy sebaik sahaja melihat wajah Zainun terjengul di muka pintu. Zainun juga sama gamam. Ah! Si lelaki bermulut gula!
  “Awak ni doktor ke? Bukan pelukis?”
  Tanya Zainun selepas duduk di kerusi pesakit. Jawapan itu membuatkan Randy tertawa kecil.
  “Seorang doktor tak boleh jadi pelukis?” tanya Randy dengan senyum manisnya.
  “Err, boleh je kot agaknya.”
  Randy hanya mampu tersenyum mendengar jawapan acuh tidak acuh Zainun.
  “Jadi, apa yang membuatkan awak datang berjumpa dengan doktor psikatri macam saya?”
  “Saya nak buat ujian samada saya ni normal atau ada masalah psikologi.”
  Sekali lagi, jawapan Zainun buatkan hati Randy bagaikan ditarik dengan daya tarikan yang begitu kuat. Randy memandang wajah ayu Zainun. Hatinya berdebaran.
  “Macam nilah, awak. Saya ni tak pandai nak cakap belit-belit. Tak pandai nak bohong. Memandangkan saya datang hospital ni untuk ceritakan semua masalah saya, lebih baik saya terus terang pasal semuanya. Umur saya sekarang dah masuk 40 tahun. Tapi saya ada masalah dengan perasaan saya terhadap lelaki. Hati saya macam dah tak boleh nak mencintai mana-mana lelaki lagi.”
  Randy tenang mendengar luahan Zainun. Ditenungnya wajah wanita yang tidak langsung kelihatan berumur 40 tahun itu. Dia merasa lega kerana kejujuran Zainun akan dapat membantu memudahkan kerjanya.
  “Awak belum pernah berkahwin?”
  “Tak pernah. Bercinta banyak kali tapi banyak kali kena tipu. Ada yang setia, tapi tinggalkan saya selamanya.”
  Selepas luahan itu, wajah Zainun jelas menunjukkan dia sedih dan tertekan. Pandangan matanya seolah terdampar di alam lain.
  “Apa awak rasa setiap kali awak didekati oleh mana-mana lelaki yang berminat nak mengenali awak?”
  Zainun mengangkat wajahnya memandang wajah tenang Randy.
  “Tak suka. Tak selesa. Rasa macam saya perlu lindungi diri saya dari mereka semua.”
  “Pernah tak hati awak berdebaran atau jantung awak berdegup-degup bila ada seorang lelaki mendekati atau berbicara dengan awak?”
  Zainun lantas teringat saat hatinya berdebaran ketika Randy mengatakan bahawa dia mahu bertemu lagi dengan dirinya. Tapi tak mungkin dia akan mengakuinya dengan Randy.
  “Ada. Tapi macam saya kata tadi. Saya takut. Saya rasa saya perlu lindungi diri saya dari jatuh cinta.”
  “Zainun, awak sebenarnya tak sakit dan tak ada masalah psikologi. Malah awak ada perasaan ingin mencintai dan itu membuatkan awak normal,” terang Randy lembut.
  “Tapi. Saya takut nak mencintai,” luah Zainun bersama keluhan panjang.
  “Kenapa takut nak mencintai?” tanya Randy.
  “Sebab apa yang saya cintai samada mati atau akhirnya pergi tinggalkan saya setelah mengambil hati dan menipu diri saya,” keras jawapan Zainun.
  “Zainun, dalam dunia ni siapa yang tak akan mati? Dalam dunia ni, apa yang kekal selamanya? Al-Quran juga akan diangkat ketika kiamat menghampiri nanti. Hanya Allah sahaja yang kekal untuk selama-lamanya. Kalau macam tu, awak pernah cuba untuk mencintai Dia? Bukan ke Allah itu Maha kekal? Awak cintakan Dia, awak akan redha atas segala ketentuannya. Dan diagnosis saya tentang masalah awak ni cuma satu. Awak telah kehilangan Allah di hati awak.”
  Zap! Bagai ada pedang yang menghiris hati Zainun tatkala dihentam dengan kata-kata Randy. Siapa. Siapa lelaki ini sebenarnya? Hati Zainun tertanya-tanya. Dia memandang Randy dengan wajah tegas. Airmatanya ditahan seboleh mungkin.
  “Awak pernah ke rasa kehilangan? Kehilangan seseorang yang betul-betul awak sayang? Yang awak impikan untuk berkahwin dengan dia tapi akhirnya menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dia berkahwin dengan awak?” 
  Zainun ketika itu benar-benar sentap dan sakit hati. Kata-kata yang diluahnya tadi meluap-luap dengan rasa marah terhadap Randy. Ya. Dia mahu mencemuh Randy kerana berani menampar hatinya sebentar tadi.
  “Pernah. Ingat lagi lukisan cat minyak saya yang awak kagumi tu? Ingat lagi saya cerita yang saya lukis lukisan itu kerana saya rindukan seseorang? Dialah insan yang saya sayang. Dan insan yang menyebabkan saya melukis lukisan itu,” Randy berjeda menghela nafasnya seketika.
  “Saya telahpun kehilangannya. Sama macam awak, saya juga berhasrat untuk menikahi dia dan nak hidup bersama dengan dia. Tapi, Allah lebih sayangkan dia. Satu jam selepas dia sah jadi milik saya, dia kembali semula kepada pemiliknya. Zainun, kisah kita sama tapi tak serupa. Sekurang-kurangnya saya dapat merasa menjadi suami dia walau untuk satu jam sahaja.”
  Zainun terus gamam mendengar jawapan Randy. Kolam matanya mulai panas. Hatinya dihantui perasaan serba salah. Namun, Randy tetap tenang dan masih boleh tersenyum memandangnya. Zainun jadi tertanya-tanya lagi. Siapakah lelaki ini sebenarnya?
  “Siapa. Siapa awak ni sebenarnya?”
  Akhirnya pertanyaan yang membuak-buak di dalam hati Zainun terluah di hadapan Randy. Wajah Randy masih lagi kelihatan tenang namun ada sedikit kerutan di keningnya. Kedengaran tawa kecil keluar dari celahan bibir Randy. Zainun masih lagi pegun memandang Randy dengan kolam mata yang bertakung.
  Randy mengukir senyum. “Awak mahu kenal doktor Randy yang berada di hadapan awak sekarang ini atau seorang Randy yang hanyalah seorang lelaki biasa?”
  Jawapan Randy membuatkan mata Zainun terkebil-kebil lantas menggugurkan titisan air jernih menempiasi pipinya. Zainun terkesima seketika. Dia merasa seakan dirinya terpukau dengan situasi itu. Dia mengalih wajahnya lalu mengelap airmata yang jatuh di pipinya. Ah! Runtuh egonya yang setinggi langit dek kerana airmata yang gugur itu. Setelah tanda airmata dihapuskan dia lantas memandang semula ke arah Randy.
  “Saya minta maaf. Emosi saya tak terkawal tadi. Maafkan saya,” pinta Zainun lembut.
  “Baiklah. Maaf diterima. Tak apalah, saya tahu awak marah dengan diagnosis telus saya pada awak. Saya seorang psikatri, jadi saya memahami apatah lagi saya juga telah melalui keadaan yang sama macam awak. Cuma,” Randy berjeda.
  “Cuma?” tanya Zainun kembali.
  “Cuma awak tak jawab lagi pertanyaan saya tadi. Saya menantikan jawapan awak,” luah Randy dalam senyum penuh makna.
  Zainun terkebil-kebil. Jantungnya berdetak semakin rancak membuatkan nafasnya semakin sesak. Aduh! Aku dah terjebak dengan godaaan lelaki bermulut gula ini!
  “Err. Saya. Saya rasa saya nak minta diri dulu,” pantas Zainun mengelak dari menjawab soalan Randy.
  Randy tertawa kecil melihatkan telatah Zainun yang sudah gelabah ingin bangun dari tempat duduknya.
  “Tapi sesi kita belum habis lagi. Masih banyak masa lagi. Silakan duduk,” balas Randy kepada Zainun yang baru sahaja ingin mengangkat punggung.
  Zainun tersenyum pendek lalu kembali duduk. Tuhan! Apa yang harus dia lakukan sekarang? Memberi jawapan kepada pertanyaan lelaki ini atau memberi alasan? Nafasnya ditarik dalam-dalam.
  “Tentang soalan awak tadi,” bergetar suara Zainun.
  “Erm. Ya?”
  “Saya rasa saya nak kenal dengan seorang Randy. Seorang Randy yang telah menampar hati saya dan menyedarkan saya bahawa selama ini saya telah kehilangan Allah di hati saya. Awak tahu, saya tak pandai nak berbohong dengan apa yang saya rasa. Jadi, inilah jawapan saya untuk soalan awak,” tenang Zainun berbicara. 
  Kali ini Randy pula yang terkesima. Entah kenapa di hatinya tiba-tiba muncul rasa sebak dan terharu yang amat sangat. Dia memandang wajah polos Zainun dengan mata berkaca. Senyumannya terukir penuh rasa gembira. Saat itu dia terasa bagaikan sedang dilamar oleh sang puteri impian.
  “Awak tahu, sejak pertama kali kita berjumpa hati saya bagai ditarik-tarik untuk mengenali awak. Dan awak tahu, jawapan yang awak berikan tadi betul-betul buatkan saya rasa terharu dan gembira. Terima kasih,” ucap Randy.
  “Sama-sama. Randy, boleh saya buat permintaan pada awak?” ucap Zainun lembut penuh harapan.
  Randy senyum dengan getaran di dada. “In Sha Allah, katakanlah apa dia?”
  “Awak sudi tak untuk memimpin saya kembali ke jalan menuju Allah yang Esa? Awak sudi tak untuk mengajar saya erti cinta kepada Allah?”
  Randy terkesima lagi. Kali ini jantungnya semakin kuat bergetaran. Inikah jodoh yang selama ini dipintanya dari Allah? Inikah dia wanitanya?
  “Alhamdulillah. In Sha Allah, saya sudi jika awak yang memintanya Zainun,” balas Randy dengan senyuman manis.
  Zainun tertunduk malu. Hatinya berbunga gembira. Selepas Randy menampar hatinya, dia akui setelah itu hadir sebuah perasaan yang tidak terduga olehnya. Perasaan ingin mengenali Randy dan memiliki lelaki itu. Dia merasakan bahawa tidak wajar untuk dia melepaskan Randy buat kali yang kedua. Kerana lelaki itu istimewa.
  “Tapi, umur saya dah 40 tahun. Tak apa ke?” ujar Zainun teragak-agak.
  Randy tertawa kecil. “Sayapun bukannya baru 30 tahun. Malah dah 42 tahun. Rasanya dah boleh sangat nak berkahwin,” balas Randy dengan pandangan penuh makna.
   Zainun memandang Randy terharu. Mata mereka berdua bertautan. Dalam sepi bicara, hati masing-masing mula berbisik cinta. Dua insan yang saling berbalas senyum itu bagaikan sedang menyatakan satu jawapan yang sama.
DISEMBER TAHUN 2014
Zainun merangkul erat tangan suaminya. Dia menatap pilu wajah insan yang telah  menemani hidupnya selama sepuluh tahun lamanya. Ya. Hari itu genap sepuluh tahun mereka berkahwin. Dan malam itu mereka sepatutnya sedang meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka di rumah namun Allah mentakdirkan sebuah perjalanan cerita yang berbeza.
  Seminggu yang lalu, ketika Randy sedang memandu untuk ke tempat kerja, tayar keretanya tiba-tiba pancit lalu menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke haluan bertentangan. Kereta Randy lalu merempuh kuat sebuah pacuan empat roda. Kemalangan itu menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala Randy manakala pemandu pacuan empat roda itu hanya mengalami cedera ringan.
  Dan hari itu, sebaik sahaja Randy sedar dari koma, Zainun telah mendengar sesuatu yang meragut segala kebahagiaannya.
  “Siapa Randy? Siapa Zainun?” 
  Tik. Tik. Airmata Zainun jatuh menimpa tangan Randy yang dirangkulnya kemas. Hatinya pilu apabila mengenangkan kembali saat Randy bertanyakan siapakah dirinya. Lebih pilu, Randy tidak mengenali dirinya sendiri. Doktor mengatakan bahawa Randy telah kehilangan semua memorinya. Tidak ada satupun yang tinggal sehingga dia tidak mengenali dirinya sendiri.
  Dalam keadaan Randy begitu, mustahil dia dapat menerima hakikat bahawa Zainun adalah isterinya. Keadaan bertambah sukar kerana Randy merupakan anak yatim piatu dan tidak mempunyai saudara-mara selain daripada Zainun. Jika ingin sembuh, Randy perlu dimasukkan ke pusat rawatan dan pemulihan namun doktor tidak dapat menjanjikan bila ingatan Randy akan pulih semula.
  Dan, jalan yang terbaik yang boleh diambil Zainun pada waktu itu adalah menghantar Randy ke pusat rawatan khas dan pemulihan demi kesembuhan suaminya itu. Namun, semua itu tidak semudah bicara. Selama sepuluh tahun mereka hidup bersama, itulah kali pertama mereka perlu berpisah untuk jangka masa yang tidak diketahui. Apatah lagi dalam keadaan Randy langsung tidak mengenali dirinya. Begitu berat hati Zainun hendak merelakan perpisahan ini. Namun jika ini kehendak Allah, Zainun harus redha menurutinya. Kerana tidak ada yang sebaik-baik pengatur melainkan Dia yang maha Esa.
  Zainun membelai wajah Randy yang lena dibuai mimpi. Airmatanya mengalir deras. Suara esakannya tertahan-tahan. Malam itu dia harus melangkah pergi demi kesembuhan Randy. Demi kebaikan mereka berdua. Hatinya tatkala itu, sungguh tidak terkata pilunya.
  “Abang Randy sayang, selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-10. Sayang tahu sayang akan selalu ada dalam hati abang. Jika fikiran abang tak mampu mengingati sayang, carilah sayang di dalam hati abang. Selamat malam abang. Sayang pergi dulu ya. Assalamualaikum.”
  Bisik Zainun sambil mencium dahi Randy. Airmatanya yang menempiasi dahi Randy dikesatnya perlahan. Tangannya masih lagi merangkul kemas tangan Randy. Dia bagai tidak mahu melepaskan tangan Randy namun jika inilah yang terbaik buat Randy, biarlah dia melepaskannya.
  “Sayang tunggu abang. Untuk selama-lamanya.”
OGOS TAHUN 2016
Jari-jemari Qaseh terhenti. Hatinya dipenuhi rasa sebak yang tidak terhingga. Hampir sahaja dia menitiskan airmata. Namun airmata itu cuba ditahan semampu yang boleh. Suasana sepi seketika. Dia menoleh ke arah Zainun yang sedang tertunduk menatap bunga ros teh yang dibawanya sejak awal pertemuan tadi.
  “Puan Nun. Selepas tu, apa terjadi?”
  Zainun mengangkat wajahnya. Terukir senyum kelat di bibirnya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Pandangannya dibuang jauh ke arah tasik di hadapan mereka berdua.
  “Saya terus menunggu dengan setia. Saya sentiasa pergi melawat dia. Dan, setiap kali saya melawat dia saya tak akan lupa tinggalkan surat dan bunga ros teh ni pada dia. Saya minta doktor katakan bahawa saya peminat rahsia dia bernama Captured,” balas Zainun tenang.
  Hati Qaseh tersentuh buat sekian kalinya. Sebak dihatinya cuba ditahan semampu mungkin. Dia tidak mahu sesi temu ramah itu dibanjiri oleh airmatanya.
  “Captured? Kenapa Captured?” tanya Qaseh ingin tahu.
  Zainun tersenyum lagi. Kali ini dia memandang bunga ros teh yang berada dalam genggamannya sedari tadi dengan senyuman yang tersirat.
  “Kerana walaupun semua memori tentang saya telah terpadam dalam ingatan suami saya, tapi segala memori cinta kami telah kami ‘captured’ pada bunga ros teh ini,” Zainun menghela nafasnya perlahan.
  “Suami saya hadiahkan bunga ros teh ini pada ulangtahun perkahwinan kami yang pertama. Dia kata, bunga ini membawa maksud ‘akan sentiasa mengingati’. Dan dia mahu segala memori cinta kami di’captured’ pada bunga ini. Supaya jika salah seorang dari kami merasa bosan atau berputus-asa terhadap hubungan kami, bunga ini akan mampu mengembalikan semula ingatan terhadap memori cinta kami dan memulihkan kembali hubungan kami yang renggang,” Zainun tertunduk lemah. Matanya terterkatup rapat.
  Qaseh diam seribu bahasa. Dia mahu Zainun mengambil masanya. Dan dia tidak mahu menganggu ketenangan yang cuba digapai Zainun.
  Tidak lama kemudian Zainun mengangkat kembali wajahnya namun begitu matanya sarat dengan kepiluan yang tidak terluah.
  “Kerana itulah setiap minggu pada hari Ahad saya akan menghantar surat kepada suami saya dengan nama Captured, bersama-sama dengan bunga ros teh ini sebab saya hanya mampu melawat dia dari jauh. Saya akan akhiri surat saya dengan alamat tempat ini. Saya katakan pada dia yang saya akan tunggu dia di sini pada setiap petang Ahad. Dan setiap petang Ahad saya akan ke tempat ini, berharap agar satu hari nanti ingatan dia akan pulih dan datang bertemu saya di sini.”
  Dalam sebak yang tertahan Zainun menyambung. “Cepat atau lambat, saya tak akan pernah berputus-asa menunggu dan terus menunggu dia untuk kembali semula pada saya.”
  Akhirnya gugur jua airmata Zainun yang sudah puas cuba ditahannya. Wajahnya tertunduk. Titisan airmatanya menempiasi bunga ros teh yang dipegangnya itu. Kelihatannya seperti bunga ros teh itu juga turut menangis bersama-sama Zainun. Perlahan Qaseh mengurut lembut bahu Zainun bagi menenangkan perasaan wanita itu.
  Setelah sedikit tenang dan menghapuskan kesan airmata di wajahnya, Zainun mengangkat wajahnya dan tersenyum ke arah Qaseh. Qaseh juga tersenyum sama.
  “Maaf. Saya terbawa-bawa dengan emosi. Inilah cerita saya, Qaseh. Saya harap awak dapat manfaatkan dengan sebaiknya. Maafkan saya sebab tak dapat beri awak kesudahan pada cerita yang bakal awak tulis nanti,” ujar Zainun kesal.
  “Tapi, mungkin juga cerita ini belum lagi berakhir.”
  Suara yang datangnya dari arah belakang itu, ada seorang sahaja pemiliknya di dalam hidup Zainun. Kolam mata Zainun bertakung lagi. Jantungnya berdegup kencang. Kedengaran bunyi derapan kaki pemilik suara itu sedang berjalan menuju ke arah hadapan tempat Zainun duduk. Kini, figura seorang lelaki yang amat dikenalinya itu membayangi pandangan mata Zainun yang berkaca. Zainun terpaku memandang wajah itu, senyuman itu dan bunga ros teh yang dipegang oleh lelaki itu.
  Qaseh membeku. Dia tidak mengerti situasi apakah yang sedang berlaku tatkala itu. Mungkinkah lelaki itu. Ah! Mungkinkah lelaki itu Randy? Tebak Qaseh. Perlahan, dia bangun dan berdiri sedikit jauh dari kerusi itu bagi memberi ruang kepada dua pasangan itu berbicara.
  “Selama ini saya tak pernah salah. Captured dan Zainun adalah seorang wanita yang sama. Wanita yang sama saya cintai 12 tahun yang lalu hingga sekarang,” luah Randy dengan mata yang sarat dengan airmata dan rindu.
  Perlahan Zainun bangun dari duduknya lalu menghampiri Randy. Matanya berkaca. Sebelah tangannya tidak lepas memegang bunga ros teh itu dan sebelah tangannya lagi menggapai wajah Randy. Inilah wajah lelaki yang teramat dirindui oleh Zainun.
  Sebelah tangan Randy juga tidak lepas memegang bunga ros teh yang sama seperti dipegang oleh Zainun dan sebelah tangannya lagi merangkul erat tangan Zainun. Airmatanya jatuh menempiasi tangan Zainun. Inilah tangan wanita yang teramat dirindui oleh Randy.
  Tanpa dapat dibendung lagi, Randy membawa Zainun ke dalam dakapannya. Zainun menangis teresak-esak di dalam dakapan Randy. Itulah hari yang amat ditunggu oleh Zainun selama hampir dua tahun ini. Dan tidak ada kata-kata yang dapat diucapkan Zainun tatkala itu melainkan kesyukuran kepada Allah kerana telah mengakhiri penantiannya selama ini. Dia benar-benar bersyukur.
  “Terima kasih sayangku Zainun kerana tak berputus-asa dengan cinta kita dan terima kasih kerana menanti abang kembali dengan penuh setia. Terima kasih Allah. Terima kasih sayang,” ucap Randy dengan airmata kesyukuran yang tidak mahu berhenti mengalir.
  Qaseh memerhati dua tubuh yang saling mendakap dalam kerinduan itu. Sungguh, hatinya tersentuh dan terharu. Dalam biasan airmata, Qaseh tersenyum.
  “Ini adalah ending paling indah yang akan aku tuliskan dalam skrip filemku nanti.”
  -CAPTURED, TAMAT-

Thursday 21 April 2016

Yang Tinggal Hanyalah Memori

Kau tahu tak perasaan tu,

Bila seseorang yang dahulunya pernah rapat dengan kau, sekarang dah langsung tak berhubung dengan kau. Dulu, kau sendiri tak tahu macam mana kau boleh jadi rapat dengan dia dan sekarangpun kau tak tahu macam mana kau boleh jadi orang asing pada dia. Suatu ketika dulu, kau rapat sangat. Dia baik sangat dengan kau. Selalu buat kau senyum. Kadang-kadang, dia adalah jugak sakitkan hati kau tapi bila kau merajuk dan marah pada dia, mesti dia akan minta maaf dan pujuk kau. Dia suka bekerjasama dengan kau dan boleh dikatakan kau dengan dia selalu bersama sampai ada orang cemburu dengan keakraban korang. 

Tapi, itu dulu. Bila satu masa korang berjalan melalui haluan masing-masing, secara tak langsung kau dengan dia dah jadi orang asing semula. Kau tak tahu samada dia yang berubah atau kau yang buruk sangka pada dia. Tapi kau tak sangka, dia yang rapat dengan kau tiba-tiba macam dah tak kenal kau langsung. Kau macam tak percaya, tapi itulah hakikatnya. Manusia berubah dan akhirnya akan berubah. Sakitkan... bila kau sangka yang hubungan kau dengan seseorang akan kekal ke hujung nyawa tapi akhirnya dia berubah malah jauh dia pergi dari hidup kau. Kau nak dia sentiasa kekal macam mana yang kau kenal dia tapi kalau dia nak berubah, dia akan berubah dan kau tak berkuasa untuk menghalangnya. Apa yang kau boleh lakukan adalah terima seadanya.

Jangan sedih kalau pada akhirnya orang-orang yang kau kenal berubah sebab masih ada memori untuk kau kenangkan seumur hidup kau. Ya, walau satu hari nanti semua orang tinggalkan kau, memori akan tetap setia berada di sisi kau dan takkan pernah tinggalkan kau. Berpegang eratlah padanya jika hanya ia yang mampu buat kau tertawa, tersenyum dan bahagia. Walau adakalanya memori akan membuat kau menangis, iapi ianya lebih baik daripada kau dilupakan oleh seseorang yang pernah rapat dengan kau...

Tuesday 5 January 2016

Tasik Berduri Dan Bangau Berbulu Emas (BHG 1)


Di dalam sebuah hutan rimba yang nyaman, ada sebuah Tasik yang segar dan biru airnya. Di dalam Tasik, ada seekor ikan emas yang hidup di dalamnya. Tasik memelihara ikan emas yang sangat cantik itu dengan sepenuh kasih sayang.

Suatu hari, datang seekor Bangau berbulu putih mendekati Tasik. Bangau itu perlahan-lahan masuk ke dalam Tasik. Tasik yang tidak mengesyaki apa-apa, hanya membiarkan Bangau menghampiri. Tasik fikir, mungkin Bangau datang singgah untuk minum air dan melepaskan lelah buat seketika. Tiba-tiba, Bangau bersuara.

“Hai, Tasik yang biru airnya. Sungguh segar air yang engkau takungi sehingga hilang dahagaku. Terima kasih,” ucap bangau dengan suara gembira.

“Oh, begitukah? Sama-sama Bangau. Jikalau engkau suka, engkau minumlah sebanyak mana yang engkau suka,” balas Tasik gembira.

Lama-kelamaan, Tasik dan Bangau mula berkawan akrab. Setiap hari Bangau datang singgah untuk minum air di Tasik. Tasik yang sudah mula menyukai Bangau, amat gembira setiap kali Bangau datang singgah di situ. 

Suatu hari, Bangau terlihat ikan emas yang dipelihara Tasik berenang-renang dengan sangat gembira. Bangau yang ketika itu sedang kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan, terliur melihat ikan emas yang dipelihara Tasik. 

“Hai, Tasik. Ikan emas itu kepunyaan engkaukah?” tanya Bangau yang sedang kelaparan.

“Ya, Bangau. Itu satu-satunya ikan emas yang hidup di dalam airku. Aku memeliharanya dengan sepenuh kasih sayang,” balas Tasik tanpa curiga.

Bangau yang sudah kelaparan, tidak berkira-kira lagi untuk menangkap ikan emas kepunyaan Tasik lalu dengan pantas dia ingin terbang pergi meninggalkan tasik. Tasik yang terkejut dengan perbuatan Bangau mencuri ikan emas kesayangannya, menjerit menghalang Bangau daripada pergi.

“Hei, Bangau! Ke mana engkau mahu pergi setelah mencuri ikan emas kesayanganku? Kembali ke sini!” jerit Tasik dengan marah. 

Namun, Bangau tidak mempedulikan jeritan tasik lalu terus terbang pergi meninggalkan Tasik yang kesedihan. 

“Aduhai, Bangau. Engkau tahu, aku sangat suka padamu. Jika engkau lapar, engkau sepatutnya memberitahu kepada aku. Jika engkau meminta secara baik, sudah pasti akan aku berikan ikan emas itu secara rela. Kerana aku sukakan engkau, aku lebih rela memberikan ikan emas itu kepada engkau asal engkau dan aku dapat hidup bersama. Tapi, engkau malah pergi meninggalkan aku Bangau. Tergamak engkau memperlakukan aku sebegini rupa.”

Tasik merasa amat sedih dan kecewa. Dalam kesedihan itu, jauh di dasar air yang ditakungi Tasik, ada sebiji telur ikan yang sempat ditinggalkan oleh ikan emas sebelum dicuri Bangau. Tasik begitu gembira dan bertekad untuk menjaga ikan emas yang bakal menetas itu dengan penjagaan yang rapi dan ketat supanya ianya tidak dicuri oleh Bangau lagi.

Bersambung...

Tuesday 15 December 2015

Pergilah Kau Seperti Masa Yang Telah Berlalu

 

Kau tahu tak perasaan tu,

Bila kau terpaksa melepaskan seseorang yang dah terlalu lama kau simpan dalam hati. Bukan mudah untuk dilepaskan bahkan teramat sakit rasanya.

Sebab sejak mula orang tu singgah dalam hati kau, dia dah semai bibit-bibit cinta dalam hati kau. Kau cuba sehabis mungkin untuk pastikan cinta tu tak berputik, tapi kau tak berdaya melawan bila tiba-tiba cinta tu tumbuh mekar dan kukuh dalam hati kau. Cinta yang dah berbunga tu memang cantik dan buat kau rasa bahagia tapi dalam masa yang sama ada duri yang tajam menusuk-nusuk hati kau. Duri itulah yang membangkitkan kau dari mimpi yang panjang. Duri tu menyedarkan kau bahawa orang yang singgah memutikkan bunga-bunga cinta dalam hati kau telahpun dimiliki oleh orang lain. Dan, kau tak mungkin dan tak akan pernah mungkin memiliki mahupun memberi cinta yang dah berbunga lebat dalam hati kau kepada orang tu. Kenapa? Sebab orang tu takdirnya bukan untuk kau. Dan, kau takdirnya bukan untuk orang tu,

Akhirnya, kau mengalah. Kau bawa diri kau pergi jauh dari orang tu dan bunga cinta dalam hati kau, kau biarkan ianya layu dan kau berharap bila kau tak jumpa dia lagi, bunga cinta tu akan gugur dan kemudiannya mati. 

Tapi, biarpun bertahun kau bawa diri kau lari dari berjumpa dengan orang tu, bunga cinta tu tak pernah gugur apatah lagi mati dalam hati kau. Kau bahkan disiksa rindu yang tak berpenghujung. Kau tak berjaya biarkan bunga cinta yang dah layu untuk orang tu supaya mati. Kau tak berdaya. Disebabkan kau tak berdaya untuk melawan perasaan kau, kau biarkan diri kau terus disiksa rindu yang tak berhenti memukul dinding hati kau.

Suatu hari, kau buka mata hati kau untuk melihat apa yang ada di hadapan dan melupakan apa yang berada di belakang. Kau sedar, tak ada guna meratapi orang tu. Orang yang tak pernah tahu tentang perasaan kau. Orang yang tak akan pernah jadi milik kau walau sebesar dan selebat manapun bunga cinta kau pada dia. Jadi, kau nekad untuk lepaskan dia pergi. Sedikit demi sedikit. Kau cuba padam siapa dia dalam hati kau. Sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan. Kau cuba. Sedaya yang mungkin. Tapi, tiba-tiba proses memadam orang tu dari hati kau terhenti sebab ianya menyakitkan. Terlalu menyakitkan! Tapi, kau tak putus asa. Kau cuba untuk padam lagi. Walau sakit, walau payah, kau terpaksa tempuh semua tu. Sebab kau tak nak simpan dia lagi. Kau nak lepaskan dia pergi supaya kau bebas dari masa lalu. Supaya kau bahagia. Ya, bahagia.

Maka pergilah kau, wahai cinta yang telah berlalu, seperti masa yang telah berlalu. Untuk selama-lamanya...



  

Wednesday 10 September 2014

I Am Still Here!!!

Assalamualaikum!
*teruja sebab lama sangat tak menaip kat sini hee*

Tengok entry terakhir tadi...
Ya Allah! Lamanya aku tak update blog! *muka terperanjat*
So... memandangkan aku dah lama tak update kan. Ehem. Agak2 korang rindu aku tak? *perasan* hehe. Tak apalah kalau tak rindu. Sebab korang pun mungkin fikir aku ni macam dah tak nak post update kat blog lagi kan. Erm apa yang aku bebelkan ni? Sorrylah. Sasau sikit.

Firstly, aku nak cerita kenapa aku laaaaammaaaa tak update blog. Sebabnya, aku sibuk sangat dengan kerja. Ceh! Macam CEO je gaya sibuk tu kan. Hehe. Tapi aku memang betul betul betul tak berkesempatan nak jengah blog. Mood nak menaip pun takde. Dan ditambah pulak dengan Aidilfitri kan. Hmm, bertambah-tambah sibuknya aku ni ha. Huhu. 

Secondly, aku nak kongsi dengan korang ni. Ingat lagi tak aku pernah post pasal aku punya novel? Alaa yang tajuknya Berhenti Mencinta tu? *muka penuh pengharapan supaya korang ingat*
Haa, yang tu! Dah ingat? Hehe. Akhir bulan Mei hari tu aku dah hantar ke pihak penerbitan Kaki Novel Sdn Bhd. Dan aku dah pun dapat email mengatakan pihak Kaki Novel dah terima naskah novel Berhenti Mencinta aku tu untuk dinilai. Belum diterbitkan lagi. Cuma dah diterima untuk penilaian. So. So. Aku nak mintak sangat kat korang semua supaya doakan yang terbaik untuk aku dan novel aku tu. Mudah-mudahan Allah qabulkan. Dan aku pun dah berusaha sebaik mungkin untuk novel tu. Sekarang aku hanya mampu berusaha untuk terus berdoa agar aku diberikan keputusan yang terbaik. InsyaAllah. Amiinn.

Thirdly, sekarang ni aku tanam anggur. Ha? Tak faham. Alaa, menganggur ler tu maksudnya. Huhu korang sengaja buat-buat tak faham kan *sengih*. So, disebabkan aku menanam anggurlah sekarang ni aku baaanyaaaaak masa nak meng-update blog aku ni. Tapi. Tapi. Jangan risau. Aku tengah berusaha cari kerja baru ni. Pagi tadi pun aku dah ambik satu borang untuk temuduga. Semoga aku berjaya hendaknya. InsyaAllah. Amiin :)

Aku sebenarnya ada baaaanyaaaakkk lagi benda nak cerita kat korang. Nanti aku ceritakan satu persatu dalam entry yang mendatang. InsyaAllah :)
Aku ada terfikir nak tambah benda2 baru dalam blog aku. Hope korang suka baca entry2 terbaru aku nanti. Aku tak janji pada sendiri yang aku akan rajin update blog hari2. Tapi aku akan cuba untuk update minggu ke minggu. Untuk train diri aku supaya lebih pandai manage time dengan semua ni. Yelah, aku kan freelance writer. Selain menulis, aku pun bekerja untuk mencari rezeki *ayat poyo habiss* hehe. Tapi betullah. Aku jadikan menulis sebagai satu hobi je buat masa ni. Untuk jadikan sebagai pendapatan tu aku rasa insyaAllah bila karya2 aku diberikan rezeki oleh Allah untuk diterbitkan dalam pelbagai bentuk satu hari nanti :) Amiin :)

Okaylah korang. Terima kasih sudi baca entry aku hari ni. Tak lupa juga kepada yang sudi follow aku :) Terima kasih banyak2 *penuh perasaan* muah bertepek-tepek kat pipi korang. Hehehe. Minta diri dulu, sekian *tunduk* 
Assalamualaikum :)

Saturday 3 May 2014

Kali ini. Biarlah Rahsia

Assalamualaikum ;)
Lama sudah rasanya diri ini tak meng-update blog. Hehe.
Hari ni pun tak ada apa sangat nak kongsi. Cuma nak beritahu hobi baru. Hobi apa? Mencintai dia *LOL* hahaha takdelah. Hobi baru aku ni sebenarnya tak berapa nak baru sangat pun. Hehe. Cuma, sejak akhir2 ni, hobi lama ni menjadi kesukaan semula pulak.
Hobi edit wallpaper then letak ayat-ayat puitis. Jiwang? Biasalah *ejek* :p haha

Ada banyak gambar2 yang aku hambek kat Encik Google then aku edit. Nanti kalau rajin aku kongsi kat blog ni k ;) Btw, aku selalu post kat FB page aku {Gadis Tulis - Nadirah Aliah} boleh like then carilah mana-mana gambar & ayat yang korang suka tu. Ni salah satunya. Tajuk gambar ni "Kali Ini Biarlah Rahsia" *gelak* (>_<) tajuk entah apa-apa je. Okaylah, itu je nak kongsi.
Sejahtera ke atas kamu. Bye (^_^)