Saturday 5 April 2014

Cinta Sampai Syurga (07.03.14 - Ilham Karangkraf)



            Aku hidupkan signal. Pantas aku membelokkan stereng ke kiri menuju ke arah stesen minyak. Aku parkirkan kereta betul-betul berhadapan tandas. Ginjalku meronta-ronta pula untuk membuang air. Setelah memenuhi kehendak encik Ginjal, aku segera melangkah ke arah kereta. Belum pun tangan aku menyentuh pintu kereta, bebola mata aku tertancap ke arah seorang lelaki. Aku memandangnya dengan sepenuh perhatian. Lelaki itu berusia lingkungan 50-an. Bukan hanya mata aku yang ralit memandang lelaki itu, tetapi semua orang yang berada di sekeliling stesen minyak itu juga ralit memerhati. Kenapa aku dan semua di situ ralit memandangnya? Dia tidak berbajukah? Bukan. Dia berkelakuan tidak senonohkah? Bukan. Dia elok sahaja berpakaian malah dia juga berjalan seperti orang biasa. Cuma. Cuma papan tanda yang tergantung di lehernya itu membuatkan banyak mata memandangnya. Papan tanda itu cukup besar dan menutupi dari bahagian bahunya hinggalah ke lutut. Tulisan yang tertampang di papan tanda itu buat aku sentap. Sebak. Dan semuanya!
            Memerlukan hati untuk isteri saya yang sedang berjuang untuk hidup.”
            Tulisan yang ditulis dengan dakwat bewarna merah terang itu bagaikan cahaya yang memeritkan mata aku sehingga menerbitkan takungan airmata. Di bawah tulisan itu juga tertera nombor telefon lelaki itu. Tanpa aku sedar, pantas sahaja aku mencapai telefon bimbit di dalam kereta dan terus menaip dan menyimpan nombor lelaki itu. Ketika berada di dalam perut kereta, aku berterusan memandang lelaki itu yang sedang berjalan dengan wajah hiba dan penuh pengharapan.
            “Ya Allah, izinkan aku membantu pak cik ini,” pintaku tanpa sedar. Takungan airmata yang aku tahan tadi, akhirnya pecah juga. Pipiku terhambur air kesedihan. Aku juga tidak tahu samada aku benar-benar sanggup ingin mendermakan sebahagian hati aku ini kepada isteri lelaki itu. Tapi entah mengapa, aku bagaikan di dorong sebuah semangat yang berkobar-kobar untuk membantu lelaki itu selepas melihat hanya sebaris tulisan yang memilukan itu. Aku tahu, ada nyawa yang perlu diselamatkan. Ada hati yang mengharap agar nyawa itu dapat terus berada di sisinya. Cuma. Ummi sudah tentu akan menentang sekeras-kerasnya!
******
            Aku lihat wajah ummi. Mulutku terkunci serapatnya. Tak tahu mukadimah apa yang harus aku ujarkan kepada ummi. Berbagai-bagai soalan yang menerjah fikiran aku. Dan aku sendiri tak ada jawapan untuk setiap soalan yang dah semakin berangkai-rangkai dalam otak aku ini.
            “Lia, kenapa?” tanya ummi apabila melihatkan aku terkulat-kulat memandangnya. Aku senyum lalu geleng.
            “Tak ada apa-apa. Hmm,” balasku dengan keluhan. Aku tunduk. Tak tahu nak kata apa. Ummi yang berada di sebelahku mengusap perlahan kepalaku.
            “Ni mesti ada apa-apa ni. Lia ada masalah ke? Nak cerita dengan ummi?” lembut Ummi memujuk. Aku melepaskan keluhan lagi. Entah yang ke berapa kali. Aku dongak. Tangan ummi aku genggam lembut. Ummi senyum. Aku menghela nafas sedalam mungkin. Mencuba mencari kekuatan untuk hujah yang bakal aku muntahkan sebentar lagi.
            “Ummi. Tiga hari lepas, masa Lia nak naik kereta lepas buang air kat Petronas, Lia terpandang seorang lelaki ni. Kasihan dia, ummi,” ujarku perlahan. Kening ummi terjungkit sedikit mendengarkan kata-kata aku.
            “Lelaki? Tua ke muda? Kenapa dengan dia?” tanya ummi bertalu-talu. Aku tundukkan wajah. Mengingatkan lelaki itu sering sahaja mengundang airmata.
            “Lelaki tua. Dia gantung sign board kat leher dia. Dia minta orang dermakan hati untuk isteri dia,” kata-kata aku terputus dek rasa sebak. Airmataku yang hampir gugur pantas aku seka. Aku pandang wajah ummi. Ummi memandang dengan wajah yang tertulis tanda soal yang begitu besar. Mungkin dia tertanya-tanya kenapa aku begitu beremosi saat itu. Ataupun mungkin dia tidak nampak di mana sedihnya cerita aku ini.
            “Mungkin dia gila kot,” balas ummi tidak yakin. Benar tekaan aku bahawa itu jawapan yang aku akan dapat daripada ummi. Aku geleng sepenuh hati.
            “Tak. Ummi. Dia tak gila. Lia yakin dia tak gila. Pakaian dia semua elok. Bersih. Mana ada orang gila bersih macam tu?” aku cuba menyangkal tuduhan ummi sebentar tadi. Semakin berkerut wajah ummi melihatkan aku cuba mempertahankan lelaki tua itu.
            “Lia. Ada yang tak kena ke dengan Lia ni? Kenapa beria-ia sangat ni? Lia simpan niat nak dermakan hati kat isteri lelaki tu ke?” tanya ummi dengan nada serius. Aku jadi gamam serta merta. Kepetahan aku pincang tiba-tiba. Aku tundukkan wajah. Gerun melihat wajah tegas ummi.
            “Erm. Ummi, sebenarnya Lia dah fikirkan. Lia nak tolong pak cik tu,” balasku tersekat-sekat. Ummi memegang wajahku. Aku kaget tatkala wajahku dipegang tiba-tiba seperti itu. Renungan mata ummi saat itu lebih tajam daripada pedang. Dada aku berdebaran. Takutnya aku Tuhan sahaja yang tahu.
            “Lia! Lia merepek apa ni? Lia tak kenal pun pak cik tu. Entah waras ke tidak. Lia jangan nak main hentam je buat keputusan! Lia jangan memandai-mandai nak tolong pak cik tu! Ummi tak izinkan!” bentak ummi geram. Aku terkedu bila ummi tiba-tiba naik angin sebegitu rupa. Wajahku dilepaskan daripada genggaman tangannya. Dia memicit-micit kepala yang mungkin sudah mula terasa sakit saat aku ujarkan niatku untuk membantu lelaki tua itu. Aku pandang wajah ummi cuba meraih simpati. Kolam mataku ditakungi airmata.
            “Ummi. Lia tahu. Lia memang tak kenal dia. Tapi, ummi. Ada sesuatu yang membuatkan Lia terdorong nak bantu pak cik tu. Bila Lia tengok keadaan dia berjalan waktu tu, Lia dapat rasakan yang dia betul-betul perlukan penderma hati untuk isteri dia. Ummi, tolonglah faham,” rayuku. Airmataku mula bercucuran membasahi pipi. Aku lihat ummi mengetap bibirnya. Dia memandang aku geram.
            “Kalau bukan pak cik tu gila, Lia yang dah gila agaknya! Lia jumpa pak cik tu kat tepi jalan. Lepas tu dalam masa tiga hari je Lia pandai-pandai buat keputusan nak dermakan hati kat isteri pak cik tu. Please Lia. Stop talking nonsense!” balas ummi. Wajahnya masih kelihatan tidak puas hati dengan keputusan yang aku ambil. Aku hilang kata-kata. Hatiku tenggelam dalam kesedihan.
            “Ummi. Lia bukan memandai-mandai buat keputusan macam yang ummi cakap. Dalam masa tiga hari tu Lia buat solat Istikharah dan solat Hajat berturut-turut setiap malam. Semakin Lia minta Allah petunjuk terhadap keputusan yang Lia nak buat ni, semakin kuat naluri hati Lia nak bantu pak cik tu. Lia masih waras ummi,” kataku dalam nada yang cukup perlahan menahan rasa kecewa dengan kata-kata ummi sebentar tadi. Wajah ummi tidakku pandang. Aku juga tidak tahu ke mana pandangan mataku berlabuh saat ini. Ummi tidak menjawab. Lama perbualan yang tadinya hangat menjadi dingin disiram sepi.
            “Lia. Lia satu-satunya anak ummi. Satu-satunya harta yang ummi ada dalam dunia ni selepas walid pergi tinggalkan ummi buat selama-lamanya. Pemindahan organ selalunya berisiko. Ummi tak nak kehilangan Lia. Maafkan ummi sebab ummi terlalu sayangkan Lia,” balas ummi sayu. Terdengar tangisannya mulai bersenandung di telingaku. Pantas aku menoleh ke arah ummi. Benar. Ummi sedang menangis. Hati aku semaki diruntun pilu. Aku mendakap ummi dengan rasa bersalah.
            “Ummi. Lia minta maaf sebab dah buat ummi marah dan sedih. Lia minta maaf,” pintaku sepenuh hati. Sambil meleraikan pelukan, aku menyambung “Tapi, ummi. Proses pemindahan organ bukannya boleh dijalankan sesuka hati. Doktor kena pastikan darah dan hati Lia sesuai untuk orang yang memerlukan organ tu. Kalau tak sesuai, pemindahan organ tak akan dijalankan. Kita cuba dulu, boleh tak ummi?”
Aku cuba memujuk dengan lembut dan penuh harapan agar ummi dapat mengerti. Ummi diam. Sekeping wajah sayu itu aku pandang. Ummi menyeka airmata. Walau apa pun kemungkinannya, aku perlu mencuba untuk menolong lelaki tua itu. sekurang-kurangnya aku meletakkan usaha untuk membantu lelaki tua itu. Dan itu lebih baik daripada berdiam membatu.
“Kalau membantu pak cik tu yang Allah dah putuskan untuk Lia, ummi izinkan Lia untuk mencuba. Walaupun hati ummi tak rela,” jawab ummi sedih. Aku sebak. Aku mendakapnya dengan rasa terharu.
“Terima kasih, ummi. Terima kasih!”
******
Setelah mendapat keizinan ummi, malam itu juga aku menelefon lelaki tua itu dan bertemu dengannya keesokan harinya untuk menyatakan niatku ingin mendermakan hati untuk isterinya. Dan setelah ujian dijalankan, hari ini aku bakal mendengarkan keputusannya.
“Datuk. Alhamdulillah. Cik Lia merupakan penderma yang sesuai untuk isteri Datuk,” ucap doktor Hafiz gembira. Aku yang duduk bersebelahan lelaki itu menoleh ke arahnya. Terbit sinar di matanya. Bercahaya dengan terang sekali.
“Betul ke? Alhamdulillah, syukur,” ucap Datuk Kamarul. Ya. Lelaki yang aku temui berjalan membawa papan tanda yang tergantung di lehernya di stesen minyak seminggu yang lepas adalah seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk.
“Tapi, doktor. Ummi saya,” ujarku tersekat-sekat. Doktor Hafiz senyum.
“Puan Mashitah dah pun berikan keizinan untuk cik Lia menjalankan pemindahan organ. Jadi, cik Lia tak perlu bimbang,” luah doktor Hafiz senyum. Terjungkit keningku memandang sekeping wajah tenang milik doktor Hafiz itu. Aku benar-benar tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Ummi berikan keizinan? Tapi, bila? Dan, kenapa?
“Lia, terima kasih,” ucap Datuk Kamarul sambil tersenyum padaku. Aku membalas.
“Sama-sama. Datuk tak perlulah berterima kasih dengan saya. Ini sebahagian tanggungjawab saya untuk berbakti pada masyarakat,” balasku tenang. Walaupun ketika itu mindaku terasa berpusing-pusing memikirkan apakah sebabnya ummi tiba-tiba sahaja memberikan keizinan untuk aku menjalani pemindahan organ itu. Aneh! Betul-betul aneh!
“Jangan panggil saya Datuk. Panggil je uncle Kamarul,” tegah Datuk kamarul. Aku senyum lalu angguk tanda akur dengan permintaannya.
“Hari ni saya akan mula aturkan jadual pembedahan dan pemindahan organ. Mulai tengahari ni, cik Lia perlu menetap di wad. Sebab kami nak pastikan tak ada sebarang masalah atau komplikasi akan berlaku. Dan Datuk, dengan izin Allah, isteri Datuk akan menerima hati baru selewat-lewatnya lusa,” beritahu doktor Hafiz. Datuk Kamarul senyum gembira.
Aku gembira dapat membantu Datuk Kamarul. Tapi, hatiku gundah gulana memikirkan ummi. Mindaku tertanya-tanya. Apa sebabnya dia membuat keputusan ini? Bukankah dari awal lagi dia mengatakan dia tak rela?
******
            Pembedahan dan pemindahan hati kepada Datin Habibah, isteri Datuk Kamarul, berjalan lancar. Aku juga sudah pulih sedikit daripada luka pembedahan. Hari itu sudah masuk hari ke tiga selepas pembedahan. Aku ingin sekali mendengar jawapan kepada persoalan yang semakin menyesakkan benak fikiranku ini. Ummi senyum memandang aku.
            “Ummi. Lia nak tahu apa sebabnya ummi izinkan Lia jalani pembedahan ni?” tanyaku perlahan. Ummi senyum lagi lalu dia genggam tanganku. Erat.
            “Sayang. Sebab ummi sayang Lia,” jawab ummi dengan jawapan klise itu. aku mengeluh. Bibirku sengaja aku cebirkan. Sengaja ingin protes.
            “Lia. Janganlah macam ni. Sebenarnya ummi pun tak tahu nak cakap macam mana,” pujuk ummi. Pantas aku menoleh.
            “Mesti ada sebab lain kan? Beritahulah Lia, ummi. Please,” rayuku. Ummi serba salah. Akhirnya dia senyum.
            “Pertama sekali, sebab doktor Hafiz cakap yang pemindahan hati ni risikonya tak terlalu tinggi berbanding dengan pemindahan organ yang lain. Sebab hati ni satu organ yang besar dan banyak bahagian. Hanya sebahagian je yang diambil untuk didermakan pada yang memerlukan,” luah ummi. Aku angguk tanda faham.
            Okay. Lagi?” tanyaku tidak sabar. Ummi menarik nafas dalam.
            “Lia, waktu Lia umur enam tahun dulu, Lia pernah terlibat dalam kemalangan waktu melintas jalan lepas balik dari tadika. Masa tu ummi tak bawa kereta. Sebab rumah kita dengan tadika Lia tak jauh. Orang yang dah langgar Lia tu lari dan tak nak bertanggungjawab. Tapi, tiba-tiba ada seorang lelaki ni turun dari kereta dan beri bantuan pada ummi dengan menumpangkan Lia dan ummi sampai ke Hospital. Lelaki tu juga bayarkan kos rawatan untuk Lia,” luah ummi panjang lebar. Aku terharu dan sebak mendengarnya. Mataku mulai disinari air jernih.
            “Ya Allah. Baiknya dia ummi,” ucapku sebak. Ummi senyum. Matanya turut ditempiasi airmata.
            “Bukan itu saja, Lia. Waktu tu, Lia mengalami pendarahan yang agak teruk. Lia memerlukan bekalan darah. Walid dan ummi tak dapat nak dermakan darah kami pada Lia waktu tu sebab Walid ambil ubat setiap bulan. Dan ummi pula haid. Darah kami tak sesuai untuk diberikan pada Lia. Tanpa kami duga, lelaki tu bawa isteri dia ke hospital untuk dermakan darah pada Lia bila dia dapat tahu Lia berdarah O. Sama dengan isteri dia,” sambung ummi lagi dengan nada cukup sayu. Ummi mengesat airmata. Aku juga turut menangis mengenangkan begitu baiknya lelaki itu pada aku sedangkan aku bukan sesiapa dalam hidup lelaki itu.
            “Ummi. Siapa lelaki tu? Lia nak ucap terima kasih pada dia,” tanyaku dengan juraian airmata. Ummi senyum.
            “Dialah lelaki yang Lia nampak berjalan dengan papan tanda tergantung di leher kat stesen minyak tu,” balas ummi. Aku gamam. Bagaimana aku boleh tidak perasan yang cerita ummi tadi berkaitan dengan Datuk Kamarul? Jadi, itulah penyebabnya kenapa ummi mengizinkan aku mendermakan sebahagian daripada hatiku untuk Datin Habibah?
            Uncle? Uncle Kamarul?” tanyaku tergagap-gagap. Pipiku ditaburi airmata. Ummi angguk.
            “Ya Lia. Waktu kita sampai kat Hospital dan bila ummi tengok je wajah dia, ummi terus buat keputusan untuk mengizinkan Lia menjalani pembedahan ni. Rupanya Allah temukan Lia dengan Datuk Kamarul sebab Allah dah makbulkan doa ummi dan walid,” ujar ummi tenang.
            “Doa ummi dan walid?” tanyaku tidak faham. Ummi senyum lagi.
            “Selepas Lia kemalangan tu, kami berdoa agar satu hari nanti kami dapat balas balik jasa Datuk Kamarul. Sebab dia langsung tak minta apa-apa balasan atas pertolongan dia dan Allah dah pun makbulkan doa kami,” balas ummi. Aku menjadi semakin sayu. Betapa hebatnya kuasa Allah. Betapa hebat takdir yang telah ditulisNya. Aku benar-benar terharu!
******
            Ketika di dalam perut kereta, aku tidak banyak berbicara. Fikirannku ligat memutarkan perbualan aku dengan Datuk Kamarul sebelum aku keluar Hospital pagi tadi.
“Kenapa uncle sanggup pakai papan tanda macam tu dan berjalan ke merata tempat untuk cari penderma hati untuk isteri uncle? Maksud Lia, bukan ke uncle boleh iklankan sahaja di media?” ujarku berhati-hati bimbang Datuk Kamarul berkecil hati. Lelaki itu cuma tertawa kecil.
            “Boleh je kalau uncle nak. Tapi, uncle tak nak ambil jalan mudah. Isteri uncle sedang bertarung nyawa. Takkan uncle nak ambil jalan mudah dengan hanya iklankan di media saja? Dia sakit, biarlah uncle pun rasa sakitnya. Sebab tu uncle tak kisah berjalan merata tempat mencari penderma untuk isteri uncle. Dengan cara tu, uncle juga sama-sama berkongsi kesakitan isteri uncle.”
            Jawapan Datuk Kamarul buat aku sentap! Apakah itu namanya cinta sejati? Sebak di hati aku tahan. Tidak mahu menangis di depan Datuk Kamarul. Datuk Kamarul senyum.
            “Lia. Cinta tu bersifat abadi. Dan cinta yang abadi itulah cinta sejati. Isteri uncle adalah segalanya bagi uncle. Kami muda bersama, kami tua bersama. Walaupun kami tak ada zuriat, tapi dengan adanya dia pun dah cukup membahagiakan hidup uncle. Isteri uncle adalah cinta sejati uncle. Uncle rela berkorban apa sahaja untuk terus berada di sisi dia. Sebab cinta sejati perlukan pengorbanan untuk terus bernyawa, Lia. Dan kami telah berjanji untuk abadikan cinta kami sampai syurga. Cinta sampai Syurga.”
            Dan bait-bait kata terakhir yang diucapkan oleh Datuk Kamarul itu bagaikan satu tinggalan sejarah yang tak akan terhapus sampai bila-bila di dalam kotak memori aku. Terlalu indah dan terlalu berharga.
            Cinta sejati perlukan pengorbanan untuk terus bernyawa. Dan kami telah berjanji untuk abadikan cinta kami sampai Syurga. Cinta sampai Syurga.” Bisikku di dalam hati dan menyemai kata-kata itu agar abadi selamanya di dalam kotak memori.

No comments:

Post a Comment