Saturday 1 March 2014

Ke Hadapan Imamku (27.02.14 - Ilham Karangkraf)



           Emirah Qalisya memandang buku itu lama. Tajuknya sahaja sudah cukup indah : Ya Allah Jagalah Dia Untukku. Buku itu diberikan oleh mamanya sehari yang lepas. Dia juga tidak tahu entah mengapa tiba-tiba sahaja mamanya memberikan buku itu kepadanya. Apabila dia bertanya, mamanya hanya tersenyum dan bertanyakan samada adakah dia percaya pada hubungan cinta selepas nikah. Dia tidak menjawab pertanyaan itu kerana dia masih lagi terkejut dengan kehadiran buku itu.
            “Mama, mama. Buku ni petanda mama nak suruh aku kahwin ke? Aduhai. Mama ni,” gumam Emirah sendirian. Namun, dia akhirnya membuka juga buku tersebut dan menelusuri helaian demi helaian.
            Emi. Bila nak bagi mama menantu?”
            Emirah tersengih apabila teringatkan pertanyaan ibunya. Apabila umurnya mula mencecah 25 tahun, mamanya asyik menyebut dan menggesanya untuk berkahwin. Kini umurnya sudah 27 tahun. Semakin menggununglah kerisauan mamanya apabila melihat anak tunggalnya itu tidak berkahwin. Sebenarnya dia bukannya tidak mahu berkahwin. Cuma, baginya dia belum lagi dipertemukan dengan seseorang yang dirasakan jodohnya.
            “Jodoh macam mana yang kamu nak cari tu?” tanya Qurratul apabila Emirah sering memberi alasan tidak bertemu jodoh apabila ditanya soal kahwin.
            “Emi nak cari lelaki yang bila Emi pandang dia, jantung Emi berdebar-debar. Lepas tu, bila dia senyum kat Emi, automatik Emi rasa dialah jodoh Emi,” jawab Emirah dengan lagak seperti orang yang sedang mendeklamasi sajak. Qurratul hanya mampu mengeluh.
            “Bila tu? Bila? Kalau macam tu sampai ke tualah mama tak rasa ada menantu dengan cucu,” rajuk Qurratul.
            Emirah tertawa sendirian mengenangkan perbualan dia dengan mamanya. Dia mengerti perasaan mamanya. Dia tahu mamanya itu mahu sangat merasa ada menantu dan cucu. Sudahlah dia satu-satunya anak mama dan papanya. Namun, dia masih lagi belum bertemu dengan lelaki seperti yang diberitahu kepada mamanya itu. Dia tahu, suatu hari dia pasti bertemu jua dengan jodohnya. Dia cuma perlu bersabar walaupun mamanya tidak lagi boleh bersabar. Perlahan Emirah menutup buku tersebut lalu memejamkan matanya dan terus terlena diulit mimpi.
******
            “Emi dah baca buku yang mama bagi tu? Macam mana? Emi rasa terinspirasi tak nak kahwin?” tanya Qurratul sewaktu sarapan. Emi diam.
            “Dah. Eh, Mama. Papa mana? Tak sarapan sekali ke?” jawab Emirah lalu pantas menukar topik. Qurratul merenung tajam.
            “Papa kamu keluar awal pagi tadi. Sengaja elak soalan mama,” ujar Qurratul. Emirah tertawa kecil melihatkan gelagat mamanya.
            “Ampun tuanku. Sembah patik harap diampun. Hehe. Buku tu buat Emi touchinglah mama. Tapi tak buat Emi rasa nak kahwin pun,” balas Emirah. Qurratul mengeluh.
            “Apa lagi yang mama nak buat supaya kamu rasa nak kahwin pun mama tak tahulah,” keluh Qurratul. Emirah senyum.
            “Mama carikanlah Emi calon. Yang tu mama tak buat lagi kan?” ujar Emirah. Qurratul memandang dengan wajah tak percaya.
            “Betul ke Emi nak mama carikan calon? Sebelum ni Emi tak bagi mama dengan papa carikan?”
            “Itu sebelum ni. Lepas baca buku yang mama bagi tu, Emi rasa biarlah mama dengan papa carikan calon untuk Emi lepas tu Emi pilih. Boleh tak mama?” ujar Emirah membuatkan Qurratul senyum gembira.
            “Boleh. Boleh,” jawab Qurratul gembira. Emirah senyum lalu menghabiskan sarapannya.
            “Amboi, senyum sampai telinga. Okaylah mama. Emi pergi kerja dulu ya. Assalamualaikum,” usik Emirah sambil meminta diri. Qurratul senyum.
            “Mestilah, mama nak dapat menantu. Waalaikumussalam,” balas Qurratul dengan perasaan yang teramat gembira.
******
            Sudah empat calon yang telah dicarikan oleh Qurratul dan Ehsan. Dan sudah empat kali juga pertemuan diadakan antara Emirah dengan keempat-empat calon itu.  Namun, keempat-empat lelaki itu tidak berjaya membuatkan Emirah merasa jantungnya berdebaran. Cuma tinggal satu calon sahaja lagi. Dan untuk calon yang terakhir itu, Emirah meminta Qurratul dan Ehsan untuk mengadakan majlis makan malam kerana Emirah ingin berjumpa dengan lelaki itu di rumah mereka sahaja. Emirah sudah malas untuk bertemu di luar. Qurratul dan Ehsan hanya menurut sahaja permintaan Emirah. Dan mereka berharap pertemuan kali ini akan berjaya membuatkan jantung Emirah berdebaran. Sewaktu menanti ketibaan calon terakhir itu, Emirah merasakan perutnya memulas.
            “Mama. Emi rasa perut Emi memulas ni. Emi nak pergi toilet dululah. Kalau lelaki tu dah sampai nanti, jemputlah dia makan dulu ya. Tak payah tunggu Emi,” ujar Emirah tergesa-gesa sebelum berlalu ke arah tandas yang berada di dapur. Qurratul dan Ehsan hanya mengangguk tanda faham.
            “Dah sampai pun kamu. Jemputlah masuk,” pelawa Ehsan tatkala lelaki itu sampai. Qurratul juga menyambut lelaki itu gembira. Lelaki itu tersenyum lalu menuruti langkah Ehsan dan Qurratul ke ruang makan.
            “Nama kamu Putera Ahmad kan?” tanya Ehsan mesra. Putera tersenyum menutup rasa gugupnya.
            “Ya. Saya. Pak cik dengan mak cik boleh panggil saya Putera je,” balas Putera ramah. Disebabkan rasa gugup yang teramat sangat, tidak semena-mena Putera merasakan ginjalnya meronta-ronta untuk membuang air.
            Ish, kau ni encik urin. Waktu-waktu macam nilah kau nak terkeluar. Buat malu je aku je tahu?” getus Putera di dalam hatinya.
            “Er. Mak cik. Pak cik. Boleh saya tumpang tandas?” tanya Putera lembut. Ehsan angguk.
            “Boleh. Pergilah. Tandas ada kat dapur. Sebelah kiri tu,”  jawab Ehsan sambil menunjukkan arah tandas yang berada di dapur. Putera senyum lalu bingkas bangun.
            Sewaktu hendak membuka pintu tandas, tiba-tiba sahaja pintu tandas itu terbuka sendiri. Hampir terkeluar urin yang ditahan Putera dek kerana terkejut. Wajah Emirah terjengul di hadapan tandas. Mata Emirah dan Putera bertaut. Serentak itu, Emirah merasakan bagaikan ada satu getaran meresap ke dalam jiwanya. Jantungnya berdebaran! Kencang dan kian kencang! Emirah pantas menyelinap keluar memberikan peluang untuk Putera masuk. Dia merasa malu berhadapan dengan Putera. Dia merasakan jantungnya berdenyut dengan denyutan paling kencang yang tidak pernah dia alami sebelum ini. Itukah debaran yang dicarinya selama ini? Dan adakah itu bererti dia telah menemui Imam yang selama ini dicarinya?
******
            Jantung Emirah masih berdebaran dengan debaran yang sama sewaktu dia mula-mula bertemu Putera tatkala lelaki itu menyarungkan cincin di jari manisnya. Putera tersenyum memandang isterinya. Dia bersyukur kerana mereka hanya memerlukan tiga bulan sahaja untuk mengenali antara satu sama lain sebelum disatukan dalam ikatan pernikahan.
            Selesai sahaja upacara nikah, pasangan suami isteri itu diraikan dengan bacaan selawat daripada kumpulan nasyid yang dijemput khas. Ketika melangkah keluar dari perkarangan dewan nikah, Emirah menghulurkan sesuatu kepada Putera.
            “Apa ni?” tanya Putera lembut. Emirah senyum.
            “Hadiah untuk awak. Jangan buka sekarang. Malam ni baru buka ya,” jawab Emirah. Putera angguk lalu memegang hadiah yang berbalut cantik itu. Tetapi hadiah itu tipis sahaja. Bentuknya seperti sekeping kad. Dia tidak sabar untuk melihat apakah isi kandungan hadiah itu.
******
            Perlahan Putera membuka balutan hadiah yang diberikan oleh isterinya selepas mereka diijabkabulkan pagi tadi. Ketika itu Emirah berada di dalam tandas. Dia mengambil peluang itu untuk membuka hadiah yang diberikan Emirah kepadanya. Jantungnya berdebaran. Sebaik sahaja balutan dibuka, ternyata di dalam balutan itu terdapat sekeping kad bewarna merah. Pantas Putera membuka kad itu.
            Assalamualaikum, Imamku. Selamat pengantin baru. Terima kasih kerana sudi memilih saya sebagai Makmum awak. Sebenarnya kad ni bukanlah hadiah yang saya nak bagi awak. Kalau awak nak tahu, apa hadiah sebenar yang saya nak bagi awak, sila buka email ni : kehadapanimamku@yahoo.com dan masukkan password (EmirahQalisya). Pastikan awak baca email yang paling bawah sekali sampailah yang paling atas. With love, your Makmum.”
            Putera tersenyum. Pantas dia membuka Ipad2 miliknya lalu membuka email yang diberikan Emirah. Sebaik sahaja membuka email itu, Putera lihat ada 45 email yang belum dibaca berada di dalam peti masuk. Semuanya datang daripada Emirah Qalisya. Dia membuka email yang berada di kedudukan paling bawah sekali. Email itu bertajuk : Kehadapan Imamku. Dada Putera berdebaran. Dengan lafaz Bismillah, dia membuka email itu.
            Assalamualaikum, Imamku. Saya pasti awak mesti terkejut kan bila awak buka email ni. Hehe. Awak.  Sekarang ni umur saya 25 tahun. Dan saya sedang mencari awak. Tujuan saya reserve kan email ni untuk awak, adalah sebab saya nak awak tahu cerita sepanjang perjalanan saya mencari awak. Saya harap awak sudi baca semua email daripada saya cari awak sampailah saya jumpa awak. Dan awak, saya harap awak dapat membimbing saya hingga ke Jannah. Insyaallah. Love, Makmummu.”
            Putera menangis terharu. Dia tidak sangka Emirah adalah seorang yang sangat romantik. Dia tersenyum gembira.
            “Awak, buat apa tu?” tanya Emirah yang muncul disebalik pintu tandas. Putera tersentak lalu menoleh. Emirah tersenyum lalu menghampiri Putera.
            “Maaflah, saya lama sangat kat dalam bilik air tadi,” pinta Emirah apabila Putera diam membisu. Putera senyum. Dia memeluk Emirah erat. Emirah terpinga-pinga apabila Putera memeluknya sebegitu.
            “Romantiknya isteri saya! Terima kasih untuk email yang sangat menyentuh hati saya. I love you Emirah Qalisya!” ucap Putera. Emirah membalas pelukan suaminya. Dia gembira kerana Putera merasa terharu membaca emailnya.
            “Sama-sama. I love you too Putera Ahmad!”

No comments:

Post a Comment