Saturday 25 January 2014

Cinta Bougainvilla (1.11.13 - Remaja)



“Kenapa bawa keluar novel dalam perpustakaan ni tanpa izin?” Fahri  berpeluk tubuh sambil matanya memandang tepat ke arah Milza. Mata Milza mula terkebil-kebil memandang wajah serius Fahri. Pincang sudah kepetahannya sebagai pemidato sekolah saat ditelan renungan membunuh Fahri.
 “Erm, sebenarnya saya tak ada kad. Saya minat sangat buku ni, sebab tu saya bawa je keluar. Salah ke?” jawab Milza dengan kenaifan yang amat jelas terpotret di wajahnya.
“Suka-suka je. Ambil barang tanpa izin, bukan mencuri namanya? Apa hukum mencuri?” soal Fahri kembali. Milza terkebil-kebil.
“Tapi, saya tak mencuri! Saya bawa keluar sekejap je, lepas tu saya pulang balik,” jawab Milza. Dia cuba mempertahankan dirinya namun sikap lurus bendulnya itu membuatkan Fahri terasa ingin ketawa berguling-guling di situ juga.
Okey, letak balik novel tu. Nanti saya belikan yang baru,” balas Fahri selamba.
“Tapi kenapa awak nak belikan saya yang baru?” Jawab Milza masih terkebil-kebil. Fahri tergelak kecil.
“Sebab saya nak hukum awak,”
“Oh, orang yang bawa keluar buku tanpa izin dari perpustakaan akan diberikan buku baru sebagai hukuman eh?” soal Milza penuh yakin. Fahri tergelak besar melihatkan gelagat Milza yang begitu lurus bendul.
“Saya belikan buku yang baru untuk awak, sebab saya sukakan awak! Comel!” ujar Fahri jujur sambil mencuit hidung Milza. Wajah Milza merah padam bagaikan baru sahaja disembur api.
“Tapi, kenapa awak suka saya?”
“Sebab takdir kata, saya akan jatuh hati dengan insan secomel awak, Milza,” luah Fahri sambil berlalu meninggalkan Milza yang tercengang-cengang sendirian.
“Eh, takdir boleh berkata-kata?” Milza bersoal jawab sendirian.
*****
Milza tersenyum sendirian mengenangkan saat-saat indah dia bertemu Fahri sewaktu mereka berada di tingkatan lima. Dia memang seorang gadis yang lurus bendul pada waktu itu. Tidak mengenal apa itu cinta, luka, kegembiraan dan airmata. Apa yang dia kenal hanyalah buku, buku dan buku. Bukannya dikongkong ibu bapa, namun Milza memang begitu. Namun, kehadiran Ikram Fahri di dalam hidupnya mengubah segala-segalanya. Fahri banyak mengajarnya tentang erti kehidupan. Bukan setakat dirinya, malah kehadiran Fahri juga amat disenangi ibu bapa Milza. Mereka harap Fahri mampu membentuk kelurusan anak mereka agar menjadi acuan yang matang dan sempurna sesuai dengan umurnya. Fahri bukanlah datang dari keluarga yang berada. Walaupun anak bongsu, Fahri terpaksa mencari duit untuk membiayai diri sendiri. Itu menyebabkan ibu bapa Milza begitu menyayangi Fahri seperti anak sendiri. Milza menggenggam seekor origami yang diperbuat daripada kertas berwarna putih itu.
“Ni, Fahri buatkan Milza origami. Suka tak?”
“Suka, cantik! Macam mana Fahri buat?”
“Fahri guna pokok bougainvilla yang ada di depan rumah Milza ni,” jawab Fahri selamba. Kening Milza mula berkerut.
“Wah, bagusnya! Macam mana tu? Mesti susah kan?” ujar Milza teruja. Fahri tergelak kecil.
“Apalah Milza ni, Fahri guna kertas A4 je. Milza suka kan? Nanti Fahri buat setiap hari Fahri sangkutkan kat pokok bougainvilla depan rumah Milza okey?” pelawa Fahri. Milza tersenyum.
“Okey!” Jawab Milza ceria.
Bunyi ketukan pintu membuatkan Milza kembali tersedar daripada lamunan. Dia melangkah malas membuka daun pintu. Wajah kakaknya terjengul sebaik sahaja daun pintu terselak. Melissa tersengih.
“Boleh  masuk?” Soal Melissa.
“Hmm… Masuklah,” jawab Milza malas sambil berlalu semula ke katilnya.
“Kenapa muka macam tapai je ni?” soal Melissa. Milza membisu. Matanya terus merenung origami yang digenggamnya sebentar tadi.
“Mesti rindukan Fahri ni,” teka Melissa bersahaja.
“Buat apa rindukan orang yang tak rindukan kita, kak?”
“Mana Milza tahu Fahri tak rindukan Milza?” Soal Melissa.
No message, no e-mail and no letters. Macam tu ke rindu?” Jawab Milza dengan nada membentak.
“Mesti dia rindukan Milza, kalau tidak mesti Milza tak akan ingat kat dia. Sabarlah, takdir tu tak pernah kejam walaupun tak selalunya indah.”
“Tapi manusia selalu kejam walaupun janjinya selalu manis kak,” balas Milza. Melissa tersengih.
“Dah pandai rupanya adik kakak ni. Ingatkan masih ‘loading’ lagi. Haha,” usik Melissa. Milza hanya menjeling.
*****
Sudah hampir lapan tahun Fahri pergi meninggalkannya tanpa khabar berita. Tanpa memberitahu dengan jelas kemana sebenarnya dia pergi. Bukan mudah untuk Milza melupakan insan bernama Ikram Fahri. Insan itu telah banyak membawa perubahan di dalam hidupnya. Dan lelaki itu telah berjaya membentuk kelurusannya dan telah berjaya membuat dia menjadi insan yang bijak dan cemerlang dalam kehidupannya.
“Fahri pergi untuk mencari kehidupan Fahri untuk memberikan kehidupan yang sempurna untuk Milza. Fahri janji Fahri akan pulang. Fahri janji,” itulah kata-kata azimat terakhir Fahri sebelum terus menghilang tanpa khabar berita. Saban tahun Milza menanti Fahri pulang. Namun, hampa. Beberapa minggu yang lepas, mama meminta Milza melupakan Fahri kerana sudah ada insan yang ingin memperisterikan Milza. Milza tidak memberikan kata putus. Namun hari itu, dia benar-benar sudah putus harapan. Dia sudah benar-benar yakin Fahri tak akan kembali lagi padanya.
“Mama, Milza terima lamaran tu,” Ujar Milza perlahan namun kuat menggegar pendengaran mamanya. Mama terus memeluk Milza dengan perasaan yang begitu gembira.
“Mama, Milza serahkan segala urusan pernikahan pada mama. Terpulanglah pada mama. Milza akan turutkan sahaja. Milza penat, Milza masuk tidur dulu ya ma. Assalammualaikum,” pinta Milza sambil berlalu bersama duka yang bisa membunuhnya.
“Milza, nak kahwin tak beritahu Fahri pun!” Kedengaran suara Fahri seakan merajuk di corong telefon. Milza tercengang. Lama talian bersambung tanpa suara.
“Milza! Dengar tak?” Fahri terjerit kecil. Milza tersentak. Dalam masa sebulan sahaja lagi dia akan bernikah, dan Fahri kembali??
“Erm, ya. Dalam masa sebulan lagi Milza akan bernikah. Bukan tak nak beritahu, Milza tak dapat contact Fahri langsung,” Milza cuba bersuara selamba walaupun hatinya pedih.
“Okey, Fahri salah. By the way, tahniah!” Ucap Fahri. Keriangan Fahri membunuh setiap kegembiraan Milza. Dia sedang menderita, dan Fahri boleh buat selamba??
“Siapa nama bakal suami Milza? Dia mesti kacak kan?” Soal Fahri dengan nada bersahaja. Milza gagal mengesan sebarang tanda kekecewaan walau sedikitpun dalam gelombang suara Fahri.
“Milza tak ingat. Milza tak pernah tengok pun orangnya. Mama yang pilih,” jawab Milza langsung tidak bersemangat.
“Aik? Mama yang nak kahwin ke? Oh, ya. Fahri nak beritahu Milza sesuatu ni,” ujar Fahri.
“Hmm. Apa dia?”
“Fahri pun akan berkahwin dalam masa sebulan lagi. Nanti Fahri bagi kad jemputan okey?” Fahri bersuara selamna. Milza terasa tamparan yang begitu hebat di jiwanya. Sehinggakan seluruh tubuhnya terasa ingin turut berkecai. Hatinya remuk.
“Oh, tahniah! Kahwin juga Fahri. Okeylah Fahri. Jangan lupa datang majlis nikah Milza nanti. Milza letih, nak tidur. Assalammualaikum,” Milza pantas memutuskan talian sebelum nyawanya putus. Mutiara jernih bertaburan di pipinya. Kolam matanya terasa hangat namun tubuhnya terasa begitu dingin. Luka dihatinya terus berdarah dan pedih dibasuh airmata.
“Fahri janji Fahri akan pulang.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya.
“Penipu!!!” Bentak Milza geram.
*****
“Ini gambar hantaran pihak lelaki. Kakak ambil tadi. Cantik betul. Tapi, yang paling cantik sirih junjung ni.” Ujar Melissa kepada Milza yang sedang disolekkan mak andam. Barang hantaran di sebelah pihaknya pun Milza tidak pernah ambil peduli. Setelah selesai bersolek dan berdandan, Milza meminta kamera yang sedang dipegang kakaknya. Entah mengapa hatinya tertarik untuk melihat gambar sirih junjung yang dikatakan oleh kakaknya sebentar tadi.
“Milza nak tengok,” pinta Milza.
“Yang mana satu?” Soal Milza setelah kamera bertukar tangan.
“Ha, yang ni. Cantik kan?” jawab Melissa. Milza terkedu. Sirih junjung itu berbentuk sebuah pohon bougainvilla dengan bunga segar dan daunnya diperbuat daripada daun sirih. Dan, apa yang lebih memeranjatkan, ada dua ekor origami kertas yang digantung bersama sebentuk cincin.
“Fahri!” Milza terjerit kecil. Hatinya sebak.
“Kakak, siapa nama bakal suami Milza?” Soal Milza dengan kolam mata yang digenangi air. Belum sempat Milza memberitahu, mama sudah memanggil Milza untuk upacara pernikahan.
*****
Sebaik sahaja melihat wajah pengantin lelaki, perasaan Milza bercampur baur. Marah, geram, gembira, terharu dan pelbagai perasaan lain menghentam jiwanya. Dia tidak tahu samada mahu tersenyum ataupun menangis kerana dia bakal dinikahkan dengan insan yang telah ditunggunya selama lapan tahun! Ikram Fahri! Fahri tersenyum memandang Milza yang sudah kaget.
“Aku terima nikah, Irish Amilza binti Jefri dengan mas kahwinnya seribu ringgit tunai.” Setelah akad dilafazkan, air mata Milza bercucuran jatuh ke bumi tanda kesyukuran. Tatkala upacara membatalkan air sembahyang, Fahri sempat mengenyit mata kepada Milza sebelum menyarungkan cincin di jari manis Milza.
“Dapat kahwin dengan Fahri pun, menangis lagi,” usik Fahri sambil menyeka airmata di pipi isterinya. Milza tersenyum.
“Mestilah. Sebab Fahri tipu,” jawab Milza merajuk. Fahri memegang lembut dagu milik Milza.
“Bukan tipu, sayang… Tapi kejutan,” balas Fahri sambil tersenyum.
*****
Dalam tempoh lapan tahun, Fahri menghilangkan diri untuk membina kehidupannya bersama Milza. Fahri sering bertanya perkembangan Milza. Hanya Milza sahaja yang tidak tahu. Malam itu mereka duduk berdua di buaian. Fahri mengelus lembut rambut Milza.
“Abang, janji dengan sayang,” soal Milza.
“Janji apa sayang?”
“Sebelum ni abang dah tinggalkan sayang selama lapan tahun. Sayang tak nak abang tinggalkan sayang lagi. Janji?” Pinta Milza manja.
“Bukan ke orang kata, sayang isteri tinggal-tinggalkan?” Usik Fahri.
“Abang!” Milza merengek manja. Fahri tertawa.
“Abang janji abang akan hidup bersama sayang bukan hanya untuk lapan tahun akan datang tapi insyaAllah sehingga ke akhir hayat abang. Abang cintakan Milza, isteri kesayangan abang ni,” ucap Fahri sambil mencuit hidung isterinya. Milza senyum.
“Milza pun cintakan Fahri, suami sayang yang tersayang,” balas Milza lantas membalas pelukan hangat Fahri ditelan kedinginan malam yang pekat.

2 comments: