Tuesday 5 January 2016

Tasik Berduri Dan Bangau Berbulu Emas (BHG 1)


Di dalam sebuah hutan rimba yang nyaman, ada sebuah Tasik yang segar dan biru airnya. Di dalam Tasik, ada seekor ikan emas yang hidup di dalamnya. Tasik memelihara ikan emas yang sangat cantik itu dengan sepenuh kasih sayang.

Suatu hari, datang seekor Bangau berbulu putih mendekati Tasik. Bangau itu perlahan-lahan masuk ke dalam Tasik. Tasik yang tidak mengesyaki apa-apa, hanya membiarkan Bangau menghampiri. Tasik fikir, mungkin Bangau datang singgah untuk minum air dan melepaskan lelah buat seketika. Tiba-tiba, Bangau bersuara.

“Hai, Tasik yang biru airnya. Sungguh segar air yang engkau takungi sehingga hilang dahagaku. Terima kasih,” ucap bangau dengan suara gembira.

“Oh, begitukah? Sama-sama Bangau. Jikalau engkau suka, engkau minumlah sebanyak mana yang engkau suka,” balas Tasik gembira.

Lama-kelamaan, Tasik dan Bangau mula berkawan akrab. Setiap hari Bangau datang singgah untuk minum air di Tasik. Tasik yang sudah mula menyukai Bangau, amat gembira setiap kali Bangau datang singgah di situ. 

Suatu hari, Bangau terlihat ikan emas yang dipelihara Tasik berenang-renang dengan sangat gembira. Bangau yang ketika itu sedang kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan, terliur melihat ikan emas yang dipelihara Tasik. 

“Hai, Tasik. Ikan emas itu kepunyaan engkaukah?” tanya Bangau yang sedang kelaparan.

“Ya, Bangau. Itu satu-satunya ikan emas yang hidup di dalam airku. Aku memeliharanya dengan sepenuh kasih sayang,” balas Tasik tanpa curiga.

Bangau yang sudah kelaparan, tidak berkira-kira lagi untuk menangkap ikan emas kepunyaan Tasik lalu dengan pantas dia ingin terbang pergi meninggalkan tasik. Tasik yang terkejut dengan perbuatan Bangau mencuri ikan emas kesayangannya, menjerit menghalang Bangau daripada pergi.

“Hei, Bangau! Ke mana engkau mahu pergi setelah mencuri ikan emas kesayanganku? Kembali ke sini!” jerit Tasik dengan marah. 

Namun, Bangau tidak mempedulikan jeritan tasik lalu terus terbang pergi meninggalkan Tasik yang kesedihan. 

“Aduhai, Bangau. Engkau tahu, aku sangat suka padamu. Jika engkau lapar, engkau sepatutnya memberitahu kepada aku. Jika engkau meminta secara baik, sudah pasti akan aku berikan ikan emas itu secara rela. Kerana aku sukakan engkau, aku lebih rela memberikan ikan emas itu kepada engkau asal engkau dan aku dapat hidup bersama. Tapi, engkau malah pergi meninggalkan aku Bangau. Tergamak engkau memperlakukan aku sebegini rupa.”

Tasik merasa amat sedih dan kecewa. Dalam kesedihan itu, jauh di dasar air yang ditakungi Tasik, ada sebiji telur ikan yang sempat ditinggalkan oleh ikan emas sebelum dicuri Bangau. Tasik begitu gembira dan bertekad untuk menjaga ikan emas yang bakal menetas itu dengan penjagaan yang rapi dan ketat supanya ianya tidak dicuri oleh Bangau lagi.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment