Wednesday 28 December 2016

Captured (03.09.16 - Ilham Karangkraf)


  “Assalamualaikum, puan Zainun. Puan dah lama sampai ke?”
  “Waalaikumussalam. Tak, saya sampai tepat pada waktu yang kita janjikan,” balas Zainun dengan senyuman.
  Gadis muda itu tersenyum lalu menghulurkan salam. Zainun menyambutnya tersenyum.
  “Awak boleh panggil saya Puan Nun saja. Saya lebih selesa begitu. Qaseh seorang sahaja?”
  Qaseh senyum lalu duduk bersebelahan dengan Zainun memandangkan kerusi itu kerusi sebaris.
  “Ya. Saya seorang aje.”
  Gadis muda itu merupakan seorang penulis skrip. Dia begitu berminat menemu ramah Zainun setelah terlihat hasil seni fotografi milik Zainun di sebuah pemeran seni. Dia benar-benar berminat ingin tahu kisah hidup Zainun kerana pada pendapatnya, gambar-gambar yang Zainun ambil bagaikan ada ceritanya yang tersendiri. Setelah melihat keikhlasan dan semangatnya, Zainun bersetuju untuk ditemu ramah.
  “Terima kasih sebab sudi terima temu ramah saya. Tapi sekadar untuk pengesahan, betul ke Puan Nun tak kisah kalau saya tulis kisah Puan Nun untuk dijadikan filem?” ujar Qaseh berhati-hati.
  Zainun menoleh ke arah Qaseh. Zainun mengukirkan senyum. Tanda jaminan bahawa dia tidak kisah.
  “Kalau saya kisah, dari awal saya tak akan terima untuk ditemu ramah. Kalau cerita saya boleh jadi inspirasi pada orang lain, tulislah dengan sebaiknya. Manfaatkan sebaiknya. Ya?”
  “Ya. Baiklah. Terima kasih sekali lagi Puan Nun. Oh ya, cantik bunga ros yang Puan Nun bawa tu. Unik warnanya,” Qaseh berkata-kata teruja.
  “Ya. Bunga ini unik dan istimewa pada saya. Bunga ros ni namanya bunga ros teh. Tapi saya ada sebab kenapa saya bawa bunga ni. Di penghujung temu ramah nanti, saya beritahu kamu sebabnya.”
  Qaseh mengangguk-angguk dengan senyuman. Pantas dia menekan penanya untuk mula dilarikan di atas kertas. Telefon pintarnya pula digunakan untuk merakam.
  “Baiklah. Kita mula sekarang ya Puan Nun,” ujar Qaseh sambil menekan butan mula pada perakam suara telefon pintarnya.
DISEMBER TAHUN 2003
Ruang pameran hari itu kelihatan makin padat dengan kunjungan dari orang ramai. Mungkin kerana hari itu hari terakhir pameran dan tambahan pula hari itu merupakan hujung minggu. Termasuk hari ini, sudah dua hari Zainun berkampung di ruang pameran itu. Sebagai seorang fotografer profesional, sudah tentu Pameran Seni Fotografi dan Lukisan itu adalah salah satu acara wajib baginya. Hari ini dia mahu menghabiskan pameran-pameran yang belum sempat dijenguknya semalam.
  Dari satu pameran ke pameran yang lain, Zainun tertarik dengan sebuah lukisan cat minyak. Dia lantas memberhentikan langkahnya lalu menghampiri lukisan itu. Lukisan itu memaparkan dua belah tangan manusia yang sedang membuat simbol kotak seolah-seolah sedang memetik sebuah ‘kamera’ ke arah sebuah pondok telefon. Sungguh, lukisan itu benar-benar menarik perhatiannya.
  “Menarik, bukan?”
  Ujar satu suara yang rasanya baru sahaja menyertai Zainun yang sedari tadi leka mengambil gambar lukisan cat minyak itu. Zainun menoleh dengan perasaan tidak berminat.
  “Ya.” itu sahaja balas Zainun lalu kembali menatap lukisan cat minyak tadi.
  Kedengaran lelaki yang menegurnya tadi ketawa kecil. Zainun menjeling ke arah lelaki itu.
  “Ada apa-apa yang kelakar ke?” tanya Zainun sarkastik.
  “Tak ada yang kelakar. Cuma tertarik betul dengar jawapan awak tadi. Saya Randy,” mesra lelaki itu berbicara.
  Zainun tarik muka. Sungguh dia tidak berminat mengenali siapakah lelaki yang bicaranya manis seperti gula itu.
  “Rasanya awak tak berminat langsung nak tahu pasal saya. Tapi, kalau awak nak tahu tentang lukisan ni carilah saya. Saya pelukisnya,” ujar Randy sambil berlalu.
  Zainun yang hanya merenung lukisan itu lantas membulatkan matanya mendengarkan kata-kata Randy. Apabila dia menoleh, lelaki itu sudahpun menuju ke aras bawah pameran. Ah! Kalau tidak kerana sikapnya yang egois itu sudah tentu dia sudah dapat menemu bual Randy. Tanpa disedari, Zainun melangkah pantas mengejar Randy.
  Namun setelah berada di ruang bawah pameran, Zainun gagal menemukan Randy.
  “Cari siapa?”
  Mendengar suara yang melantun dari arah belakang Zainun, dia lantas menoleh.
  “Cari Randy?” itu jawapan yang bolos dari mulut Zainun.
  Randy tersenyum menampakkan kedua-dua lesung pipitnya. Jejaka hitam manis itu merenung wajah Zainun. Pada perkiraan Zainun lelaki itu berumur dalam lingkungan lewat 30an.
  “Awak berminat dengan Randy atau dengan lukisan dia?”
  Mendengar soalan itu Zainun menjungkit bibirnya sedikit. Namun segera dia melemparkan senyuman.
  “Berminat dengan lukisan awak. Boleh brief kat saya pasal lukisan awak tu?”
  “Oh, boleh. Tapi sebelum tu, awak ni siapa namanya?”
  “Zainun. Fotografer dan blogger,” balas Zainun sambil menghulurkan kad namanya.
  “Oh, jadi awak ni pemilik blog Nun Zainun tu ya! Saya salah seorang peminat awak,” balas Randy teruja.
  “Ya. Terima kasih. Kalau awak tak kisah boleh tak awak brief semula kat lukisan awak tadi? Saya mahukan feelingnya meresap,” pinta Zainun.
  “Boleh. Silakan,” ujar Randy dengan senyum manisnya.
  “Lukisan ni saya lukis ketika saya rindukan seseorang yang sayang. Saya gunakan cat minyak sebab ianya bersifat kekal dan tahan lama. Saya mahu kekalkan rasa rindu saya pada lukisan ni. Pondok telefon tu tempat pertama sekali kami jumpa. Dan tangan yang membentuk kotak menghala ke pondok telefon tu adalah umpama saya sedang memetik kamera ke arah kenangan saya dan dia di pondok telefon tu.”
  Entah kenapa, penerangan ringkas Randy menyentuh hati Zainun. Namun perasaan yang menyentuh hatinya tatkala itu terasa lain macam benar getarnya. Lama Zainun merenung ke arah lukisan itu.
  “Tak sangka ada lagi lelaki macam awak ni kat dalam dunia.”
  Randy memandang wajah kosong Zainun. Komentar yang diberikan wanita itu tadi membuatkan Randy merasakan bahawa wanita ini punya tarikan yang luar biasa.
  “Maksudnya?”
  “Yalah. Pada saya, lukisan awak ni melambangkan kesetiaan. Dan saya pernah jumpa seorang sahaja lelaki yang setia dalam dunia. Selepas dia tiada lagi. Tapi, hari ni saya jumpa awak,” luah Zainun.
  Ketika ini, hadir satu perasaan dalam jiwa Randy untuk semakin mengenali dan mendekati wanita bernama Zainun itu.
  “Kenapa lelaki yang setia tu dah tak ada lagi?” tanya Randy ingin tahu.
  “Lelaki tu dah tak ada lagi. Dah tak bernafas lagi kat muka bumi ni. Faham maksud saya?”
  “Oh. Maafkan saya,” luah Randy kesal.
  Zainun senyum. “Tak apa. Apapun, terima kasih sudi berikan penerangan tentang lukisan awak. Saya akan tulis serupa dengan apa yang awak terangkan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”
  Randy gamam. Seringkas itu sahaja? Tidak mungkin dia akan melepaskan wanita itu setelah hatinya ditarik-tarik sedemikian rupa.
  “Awak dah nak balik?”
  Randy menghalang langkah Zainun dengan tubuhnya. Zainun memandang kosong.
  “Ya. Lukisan awak pameran terakhir untuk saya. Ada banyak lagi tugas menanti,” tegas suara Zainun.
  “Saya nak jumpa awak lagi, Zainun,” luah Randy.
  Gugup sebentar Zainun mendengarkan kata-kata Randy. Ah! Lelaki ini bibirnya manis benar seperti gula!
  “Urusan saya dengan awak dah selesai. Dan saya rasa saya tak perlu untuk jumpa awak lagi. Terima kasih. Assalamualaikum.”
  Dengan salam penutup bicara, Zainun melangkah pergi meninggalkan Randy. Randy melepaskan namun berdoa agar mereka dijodohkan untuk bertemu lagi.
APRIL TAHUN 2004
Jodoh mempertemukan kembali Zainun dan Randy. Kali ini di sebuah hospital.
  “Zainun?”
  Itu yang keluar dari mulut Randy sebaik sahaja melihat wajah Zainun terjengul di muka pintu. Zainun juga sama gamam. Ah! Si lelaki bermulut gula!
  “Awak ni doktor ke? Bukan pelukis?”
  Tanya Zainun selepas duduk di kerusi pesakit. Jawapan itu membuatkan Randy tertawa kecil.
  “Seorang doktor tak boleh jadi pelukis?” tanya Randy dengan senyum manisnya.
  “Err, boleh je kot agaknya.”
  Randy hanya mampu tersenyum mendengar jawapan acuh tidak acuh Zainun.
  “Jadi, apa yang membuatkan awak datang berjumpa dengan doktor psikatri macam saya?”
  “Saya nak buat ujian samada saya ni normal atau ada masalah psikologi.”
  Sekali lagi, jawapan Zainun buatkan hati Randy bagaikan ditarik dengan daya tarikan yang begitu kuat. Randy memandang wajah ayu Zainun. Hatinya berdebaran.
  “Macam nilah, awak. Saya ni tak pandai nak cakap belit-belit. Tak pandai nak bohong. Memandangkan saya datang hospital ni untuk ceritakan semua masalah saya, lebih baik saya terus terang pasal semuanya. Umur saya sekarang dah masuk 40 tahun. Tapi saya ada masalah dengan perasaan saya terhadap lelaki. Hati saya macam dah tak boleh nak mencintai mana-mana lelaki lagi.”
  Randy tenang mendengar luahan Zainun. Ditenungnya wajah wanita yang tidak langsung kelihatan berumur 40 tahun itu. Dia merasa lega kerana kejujuran Zainun akan dapat membantu memudahkan kerjanya.
  “Awak belum pernah berkahwin?”
  “Tak pernah. Bercinta banyak kali tapi banyak kali kena tipu. Ada yang setia, tapi tinggalkan saya selamanya.”
  Selepas luahan itu, wajah Zainun jelas menunjukkan dia sedih dan tertekan. Pandangan matanya seolah terdampar di alam lain.
  “Apa awak rasa setiap kali awak didekati oleh mana-mana lelaki yang berminat nak mengenali awak?”
  Zainun mengangkat wajahnya memandang wajah tenang Randy.
  “Tak suka. Tak selesa. Rasa macam saya perlu lindungi diri saya dari mereka semua.”
  “Pernah tak hati awak berdebaran atau jantung awak berdegup-degup bila ada seorang lelaki mendekati atau berbicara dengan awak?”
  Zainun lantas teringat saat hatinya berdebaran ketika Randy mengatakan bahawa dia mahu bertemu lagi dengan dirinya. Tapi tak mungkin dia akan mengakuinya dengan Randy.
  “Ada. Tapi macam saya kata tadi. Saya takut. Saya rasa saya perlu lindungi diri saya dari jatuh cinta.”
  “Zainun, awak sebenarnya tak sakit dan tak ada masalah psikologi. Malah awak ada perasaan ingin mencintai dan itu membuatkan awak normal,” terang Randy lembut.
  “Tapi. Saya takut nak mencintai,” luah Zainun bersama keluhan panjang.
  “Kenapa takut nak mencintai?” tanya Randy.
  “Sebab apa yang saya cintai samada mati atau akhirnya pergi tinggalkan saya setelah mengambil hati dan menipu diri saya,” keras jawapan Zainun.
  “Zainun, dalam dunia ni siapa yang tak akan mati? Dalam dunia ni, apa yang kekal selamanya? Al-Quran juga akan diangkat ketika kiamat menghampiri nanti. Hanya Allah sahaja yang kekal untuk selama-lamanya. Kalau macam tu, awak pernah cuba untuk mencintai Dia? Bukan ke Allah itu Maha kekal? Awak cintakan Dia, awak akan redha atas segala ketentuannya. Dan diagnosis saya tentang masalah awak ni cuma satu. Awak telah kehilangan Allah di hati awak.”
  Zap! Bagai ada pedang yang menghiris hati Zainun tatkala dihentam dengan kata-kata Randy. Siapa. Siapa lelaki ini sebenarnya? Hati Zainun tertanya-tanya. Dia memandang Randy dengan wajah tegas. Airmatanya ditahan seboleh mungkin.
  “Awak pernah ke rasa kehilangan? Kehilangan seseorang yang betul-betul awak sayang? Yang awak impikan untuk berkahwin dengan dia tapi akhirnya menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dia berkahwin dengan awak?” 
  Zainun ketika itu benar-benar sentap dan sakit hati. Kata-kata yang diluahnya tadi meluap-luap dengan rasa marah terhadap Randy. Ya. Dia mahu mencemuh Randy kerana berani menampar hatinya sebentar tadi.
  “Pernah. Ingat lagi lukisan cat minyak saya yang awak kagumi tu? Ingat lagi saya cerita yang saya lukis lukisan itu kerana saya rindukan seseorang? Dialah insan yang saya sayang. Dan insan yang menyebabkan saya melukis lukisan itu,” Randy berjeda menghela nafasnya seketika.
  “Saya telahpun kehilangannya. Sama macam awak, saya juga berhasrat untuk menikahi dia dan nak hidup bersama dengan dia. Tapi, Allah lebih sayangkan dia. Satu jam selepas dia sah jadi milik saya, dia kembali semula kepada pemiliknya. Zainun, kisah kita sama tapi tak serupa. Sekurang-kurangnya saya dapat merasa menjadi suami dia walau untuk satu jam sahaja.”
  Zainun terus gamam mendengar jawapan Randy. Kolam matanya mulai panas. Hatinya dihantui perasaan serba salah. Namun, Randy tetap tenang dan masih boleh tersenyum memandangnya. Zainun jadi tertanya-tanya lagi. Siapakah lelaki ini sebenarnya?
  “Siapa. Siapa awak ni sebenarnya?”
  Akhirnya pertanyaan yang membuak-buak di dalam hati Zainun terluah di hadapan Randy. Wajah Randy masih lagi kelihatan tenang namun ada sedikit kerutan di keningnya. Kedengaran tawa kecil keluar dari celahan bibir Randy. Zainun masih lagi pegun memandang Randy dengan kolam mata yang bertakung.
  Randy mengukir senyum. “Awak mahu kenal doktor Randy yang berada di hadapan awak sekarang ini atau seorang Randy yang hanyalah seorang lelaki biasa?”
  Jawapan Randy membuatkan mata Zainun terkebil-kebil lantas menggugurkan titisan air jernih menempiasi pipinya. Zainun terkesima seketika. Dia merasa seakan dirinya terpukau dengan situasi itu. Dia mengalih wajahnya lalu mengelap airmata yang jatuh di pipinya. Ah! Runtuh egonya yang setinggi langit dek kerana airmata yang gugur itu. Setelah tanda airmata dihapuskan dia lantas memandang semula ke arah Randy.
  “Saya minta maaf. Emosi saya tak terkawal tadi. Maafkan saya,” pinta Zainun lembut.
  “Baiklah. Maaf diterima. Tak apalah, saya tahu awak marah dengan diagnosis telus saya pada awak. Saya seorang psikatri, jadi saya memahami apatah lagi saya juga telah melalui keadaan yang sama macam awak. Cuma,” Randy berjeda.
  “Cuma?” tanya Zainun kembali.
  “Cuma awak tak jawab lagi pertanyaan saya tadi. Saya menantikan jawapan awak,” luah Randy dalam senyum penuh makna.
  Zainun terkebil-kebil. Jantungnya berdetak semakin rancak membuatkan nafasnya semakin sesak. Aduh! Aku dah terjebak dengan godaaan lelaki bermulut gula ini!
  “Err. Saya. Saya rasa saya nak minta diri dulu,” pantas Zainun mengelak dari menjawab soalan Randy.
  Randy tertawa kecil melihatkan telatah Zainun yang sudah gelabah ingin bangun dari tempat duduknya.
  “Tapi sesi kita belum habis lagi. Masih banyak masa lagi. Silakan duduk,” balas Randy kepada Zainun yang baru sahaja ingin mengangkat punggung.
  Zainun tersenyum pendek lalu kembali duduk. Tuhan! Apa yang harus dia lakukan sekarang? Memberi jawapan kepada pertanyaan lelaki ini atau memberi alasan? Nafasnya ditarik dalam-dalam.
  “Tentang soalan awak tadi,” bergetar suara Zainun.
  “Erm. Ya?”
  “Saya rasa saya nak kenal dengan seorang Randy. Seorang Randy yang telah menampar hati saya dan menyedarkan saya bahawa selama ini saya telah kehilangan Allah di hati saya. Awak tahu, saya tak pandai nak berbohong dengan apa yang saya rasa. Jadi, inilah jawapan saya untuk soalan awak,” tenang Zainun berbicara. 
  Kali ini Randy pula yang terkesima. Entah kenapa di hatinya tiba-tiba muncul rasa sebak dan terharu yang amat sangat. Dia memandang wajah polos Zainun dengan mata berkaca. Senyumannya terukir penuh rasa gembira. Saat itu dia terasa bagaikan sedang dilamar oleh sang puteri impian.
  “Awak tahu, sejak pertama kali kita berjumpa hati saya bagai ditarik-tarik untuk mengenali awak. Dan awak tahu, jawapan yang awak berikan tadi betul-betul buatkan saya rasa terharu dan gembira. Terima kasih,” ucap Randy.
  “Sama-sama. Randy, boleh saya buat permintaan pada awak?” ucap Zainun lembut penuh harapan.
  Randy senyum dengan getaran di dada. “In Sha Allah, katakanlah apa dia?”
  “Awak sudi tak untuk memimpin saya kembali ke jalan menuju Allah yang Esa? Awak sudi tak untuk mengajar saya erti cinta kepada Allah?”
  Randy terkesima lagi. Kali ini jantungnya semakin kuat bergetaran. Inikah jodoh yang selama ini dipintanya dari Allah? Inikah dia wanitanya?
  “Alhamdulillah. In Sha Allah, saya sudi jika awak yang memintanya Zainun,” balas Randy dengan senyuman manis.
  Zainun tertunduk malu. Hatinya berbunga gembira. Selepas Randy menampar hatinya, dia akui setelah itu hadir sebuah perasaan yang tidak terduga olehnya. Perasaan ingin mengenali Randy dan memiliki lelaki itu. Dia merasakan bahawa tidak wajar untuk dia melepaskan Randy buat kali yang kedua. Kerana lelaki itu istimewa.
  “Tapi, umur saya dah 40 tahun. Tak apa ke?” ujar Zainun teragak-agak.
  Randy tertawa kecil. “Sayapun bukannya baru 30 tahun. Malah dah 42 tahun. Rasanya dah boleh sangat nak berkahwin,” balas Randy dengan pandangan penuh makna.
   Zainun memandang Randy terharu. Mata mereka berdua bertautan. Dalam sepi bicara, hati masing-masing mula berbisik cinta. Dua insan yang saling berbalas senyum itu bagaikan sedang menyatakan satu jawapan yang sama.
DISEMBER TAHUN 2014
Zainun merangkul erat tangan suaminya. Dia menatap pilu wajah insan yang telah  menemani hidupnya selama sepuluh tahun lamanya. Ya. Hari itu genap sepuluh tahun mereka berkahwin. Dan malam itu mereka sepatutnya sedang meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka di rumah namun Allah mentakdirkan sebuah perjalanan cerita yang berbeza.
  Seminggu yang lalu, ketika Randy sedang memandu untuk ke tempat kerja, tayar keretanya tiba-tiba pancit lalu menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke haluan bertentangan. Kereta Randy lalu merempuh kuat sebuah pacuan empat roda. Kemalangan itu menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala Randy manakala pemandu pacuan empat roda itu hanya mengalami cedera ringan.
  Dan hari itu, sebaik sahaja Randy sedar dari koma, Zainun telah mendengar sesuatu yang meragut segala kebahagiaannya.
  “Siapa Randy? Siapa Zainun?” 
  Tik. Tik. Airmata Zainun jatuh menimpa tangan Randy yang dirangkulnya kemas. Hatinya pilu apabila mengenangkan kembali saat Randy bertanyakan siapakah dirinya. Lebih pilu, Randy tidak mengenali dirinya sendiri. Doktor mengatakan bahawa Randy telah kehilangan semua memorinya. Tidak ada satupun yang tinggal sehingga dia tidak mengenali dirinya sendiri.
  Dalam keadaan Randy begitu, mustahil dia dapat menerima hakikat bahawa Zainun adalah isterinya. Keadaan bertambah sukar kerana Randy merupakan anak yatim piatu dan tidak mempunyai saudara-mara selain daripada Zainun. Jika ingin sembuh, Randy perlu dimasukkan ke pusat rawatan dan pemulihan namun doktor tidak dapat menjanjikan bila ingatan Randy akan pulih semula.
  Dan, jalan yang terbaik yang boleh diambil Zainun pada waktu itu adalah menghantar Randy ke pusat rawatan khas dan pemulihan demi kesembuhan suaminya itu. Namun, semua itu tidak semudah bicara. Selama sepuluh tahun mereka hidup bersama, itulah kali pertama mereka perlu berpisah untuk jangka masa yang tidak diketahui. Apatah lagi dalam keadaan Randy langsung tidak mengenali dirinya. Begitu berat hati Zainun hendak merelakan perpisahan ini. Namun jika ini kehendak Allah, Zainun harus redha menurutinya. Kerana tidak ada yang sebaik-baik pengatur melainkan Dia yang maha Esa.
  Zainun membelai wajah Randy yang lena dibuai mimpi. Airmatanya mengalir deras. Suara esakannya tertahan-tahan. Malam itu dia harus melangkah pergi demi kesembuhan Randy. Demi kebaikan mereka berdua. Hatinya tatkala itu, sungguh tidak terkata pilunya.
  “Abang Randy sayang, selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-10. Sayang tahu sayang akan selalu ada dalam hati abang. Jika fikiran abang tak mampu mengingati sayang, carilah sayang di dalam hati abang. Selamat malam abang. Sayang pergi dulu ya. Assalamualaikum.”
  Bisik Zainun sambil mencium dahi Randy. Airmatanya yang menempiasi dahi Randy dikesatnya perlahan. Tangannya masih lagi merangkul kemas tangan Randy. Dia bagai tidak mahu melepaskan tangan Randy namun jika inilah yang terbaik buat Randy, biarlah dia melepaskannya.
  “Sayang tunggu abang. Untuk selama-lamanya.”
OGOS TAHUN 2016
Jari-jemari Qaseh terhenti. Hatinya dipenuhi rasa sebak yang tidak terhingga. Hampir sahaja dia menitiskan airmata. Namun airmata itu cuba ditahan semampu yang boleh. Suasana sepi seketika. Dia menoleh ke arah Zainun yang sedang tertunduk menatap bunga ros teh yang dibawanya sejak awal pertemuan tadi.
  “Puan Nun. Selepas tu, apa terjadi?”
  Zainun mengangkat wajahnya. Terukir senyum kelat di bibirnya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Pandangannya dibuang jauh ke arah tasik di hadapan mereka berdua.
  “Saya terus menunggu dengan setia. Saya sentiasa pergi melawat dia. Dan, setiap kali saya melawat dia saya tak akan lupa tinggalkan surat dan bunga ros teh ni pada dia. Saya minta doktor katakan bahawa saya peminat rahsia dia bernama Captured,” balas Zainun tenang.
  Hati Qaseh tersentuh buat sekian kalinya. Sebak dihatinya cuba ditahan semampu mungkin. Dia tidak mahu sesi temu ramah itu dibanjiri oleh airmatanya.
  “Captured? Kenapa Captured?” tanya Qaseh ingin tahu.
  Zainun tersenyum lagi. Kali ini dia memandang bunga ros teh yang berada dalam genggamannya sedari tadi dengan senyuman yang tersirat.
  “Kerana walaupun semua memori tentang saya telah terpadam dalam ingatan suami saya, tapi segala memori cinta kami telah kami ‘captured’ pada bunga ros teh ini,” Zainun menghela nafasnya perlahan.
  “Suami saya hadiahkan bunga ros teh ini pada ulangtahun perkahwinan kami yang pertama. Dia kata, bunga ini membawa maksud ‘akan sentiasa mengingati’. Dan dia mahu segala memori cinta kami di’captured’ pada bunga ini. Supaya jika salah seorang dari kami merasa bosan atau berputus-asa terhadap hubungan kami, bunga ini akan mampu mengembalikan semula ingatan terhadap memori cinta kami dan memulihkan kembali hubungan kami yang renggang,” Zainun tertunduk lemah. Matanya terterkatup rapat.
  Qaseh diam seribu bahasa. Dia mahu Zainun mengambil masanya. Dan dia tidak mahu menganggu ketenangan yang cuba digapai Zainun.
  Tidak lama kemudian Zainun mengangkat kembali wajahnya namun begitu matanya sarat dengan kepiluan yang tidak terluah.
  “Kerana itulah setiap minggu pada hari Ahad saya akan menghantar surat kepada suami saya dengan nama Captured, bersama-sama dengan bunga ros teh ini sebab saya hanya mampu melawat dia dari jauh. Saya akan akhiri surat saya dengan alamat tempat ini. Saya katakan pada dia yang saya akan tunggu dia di sini pada setiap petang Ahad. Dan setiap petang Ahad saya akan ke tempat ini, berharap agar satu hari nanti ingatan dia akan pulih dan datang bertemu saya di sini.”
  Dalam sebak yang tertahan Zainun menyambung. “Cepat atau lambat, saya tak akan pernah berputus-asa menunggu dan terus menunggu dia untuk kembali semula pada saya.”
  Akhirnya gugur jua airmata Zainun yang sudah puas cuba ditahannya. Wajahnya tertunduk. Titisan airmatanya menempiasi bunga ros teh yang dipegangnya itu. Kelihatannya seperti bunga ros teh itu juga turut menangis bersama-sama Zainun. Perlahan Qaseh mengurut lembut bahu Zainun bagi menenangkan perasaan wanita itu.
  Setelah sedikit tenang dan menghapuskan kesan airmata di wajahnya, Zainun mengangkat wajahnya dan tersenyum ke arah Qaseh. Qaseh juga tersenyum sama.
  “Maaf. Saya terbawa-bawa dengan emosi. Inilah cerita saya, Qaseh. Saya harap awak dapat manfaatkan dengan sebaiknya. Maafkan saya sebab tak dapat beri awak kesudahan pada cerita yang bakal awak tulis nanti,” ujar Zainun kesal.
  “Tapi, mungkin juga cerita ini belum lagi berakhir.”
  Suara yang datangnya dari arah belakang itu, ada seorang sahaja pemiliknya di dalam hidup Zainun. Kolam mata Zainun bertakung lagi. Jantungnya berdegup kencang. Kedengaran bunyi derapan kaki pemilik suara itu sedang berjalan menuju ke arah hadapan tempat Zainun duduk. Kini, figura seorang lelaki yang amat dikenalinya itu membayangi pandangan mata Zainun yang berkaca. Zainun terpaku memandang wajah itu, senyuman itu dan bunga ros teh yang dipegang oleh lelaki itu.
  Qaseh membeku. Dia tidak mengerti situasi apakah yang sedang berlaku tatkala itu. Mungkinkah lelaki itu. Ah! Mungkinkah lelaki itu Randy? Tebak Qaseh. Perlahan, dia bangun dan berdiri sedikit jauh dari kerusi itu bagi memberi ruang kepada dua pasangan itu berbicara.
  “Selama ini saya tak pernah salah. Captured dan Zainun adalah seorang wanita yang sama. Wanita yang sama saya cintai 12 tahun yang lalu hingga sekarang,” luah Randy dengan mata yang sarat dengan airmata dan rindu.
  Perlahan Zainun bangun dari duduknya lalu menghampiri Randy. Matanya berkaca. Sebelah tangannya tidak lepas memegang bunga ros teh itu dan sebelah tangannya lagi menggapai wajah Randy. Inilah wajah lelaki yang teramat dirindui oleh Zainun.
  Sebelah tangan Randy juga tidak lepas memegang bunga ros teh yang sama seperti dipegang oleh Zainun dan sebelah tangannya lagi merangkul erat tangan Zainun. Airmatanya jatuh menempiasi tangan Zainun. Inilah tangan wanita yang teramat dirindui oleh Randy.
  Tanpa dapat dibendung lagi, Randy membawa Zainun ke dalam dakapannya. Zainun menangis teresak-esak di dalam dakapan Randy. Itulah hari yang amat ditunggu oleh Zainun selama hampir dua tahun ini. Dan tidak ada kata-kata yang dapat diucapkan Zainun tatkala itu melainkan kesyukuran kepada Allah kerana telah mengakhiri penantiannya selama ini. Dia benar-benar bersyukur.
  “Terima kasih sayangku Zainun kerana tak berputus-asa dengan cinta kita dan terima kasih kerana menanti abang kembali dengan penuh setia. Terima kasih Allah. Terima kasih sayang,” ucap Randy dengan airmata kesyukuran yang tidak mahu berhenti mengalir.
  Qaseh memerhati dua tubuh yang saling mendakap dalam kerinduan itu. Sungguh, hatinya tersentuh dan terharu. Dalam biasan airmata, Qaseh tersenyum.
  “Ini adalah ending paling indah yang akan aku tuliskan dalam skrip filemku nanti.”
  -CAPTURED, TAMAT-

No comments:

Post a Comment