Tuesday 10 January 2017

Kek Coklat Encik Suami (17.05.14 - Ilham Karangkraf)

Alfian kaget apabila melihat Abirah berterusan menangis. Semakin lama semakin kuat. Dia bimbang jikalau ibu bapa mereka yang tidur di bilik bersebelahan mendengari suara tangisan Abirah. Tidak pasal-pasal nanti dia pula yang dipersalahkan. Alfian hanya mampu memandang isterinya itu. Dia benar-benar mati akal. Tidak tahu bagaimana mahu memujuk Abirah supaya berhenti menangis.
“Err, awak. Kenapa menangis ni?” lembut suara Alfian bertanya. Abirah tidak memandang namun begitu tangisannya mulai reda sedikit. Selepas mengelap airmatanya, dia mengangkat muka memandang Alfian. Dia bagaikan tidak percaya malam itu dia bakal tidur bersama Alfian. Lelaki yang hanya dikenalinya seminggu sebelum pernikahan mereka berlansung. Alfian senyum. Abirah kaget. Apakah maksud senyuman Alfian? Adakah lelaki itu berhajat untuk melakukan apa yang lazimnya sepasang suami isteri lakukan? Kecut perut Abirah.
“Awak. Awak nak buat apa kat saya?” tanya Abirah tergagap-gagap. Alfian sengih. Dia duduk bersebelahan Abirah. Pantas Abirah menjarakkan kedudukan sambil menghalang Alfian daripada mendekatinya dengan bantal. Berkerut kening Alfian melihatkan tindakan Abirah. Mata Abirah sudah bulat memandang Alfian.
“Buat apa? Kenapa dengan awak ni?” tanya Alfian pelik. Dada Abirah berdegup kian kencang.
“Awak tahu kan, saya kenal awak seminggu sebelum kita nikah. Berbual pun sikit-sikit. Jadi, saya. Saya tak sedia lagi untuk,” ujar Abirah. Kata-katanya terhenti. Alfian hanya memandang.
“Untuk apa?” tanya Alfian. Abirah meneguk air liur. Dia tertunduk malu.
“Untuk tulah. Ish,” getus Abirah. Alfian ketawa. Abirah pantas memandang wajah Alfian.
“Kenapa awak ketawa?” tanya Abirah. Alfian sengih.
“Habis tu, kalau tak buat tu. Kita nak buat apa?” Alfian sengaja mengusik. Tidak semena-mena Abirah memukulnya dengan bantal. Terkejut Alfian dibuatnya.
“Ish, pervert!” getus Abirah geram lalu memalingkan muka daripada Alfian. Bulat mata Alfian mendengarkan kata-kata Abirah.
“Apa awak kata? Saya suami awak dan saya berhak ke atas awak tahu?” balas Alfian geram sambil memandang Abirah yang sedang buat muka mencebik.
“Kita kahwin bukan atas dasar cinta. Tapi atas permintaan keluarga. Walaupun awak suami saya, awak tak berhak paksa saya!” balas Abirah sambil memandang Alfian dengan mata terjengil. Alfian pula yang mencebirkan bibir kali ini.
“Ceh! Saya pun tak ingin! Walaupun saya tak boleh paksa awak, awak tak patut panggil saya pervert. Saya buat betul-betul baru tahu,” cemuh Alfian semula. Besar mata Abirah. Dia mengetap giginya geram. Begini rupanya perangai suaminya. Pada pertemuan pertama nampak sahaja macam “cool”.
“Kalau awak tak ingin baguslah. Dahlah, saya nak tidur. Huh!” rengus Abirah lalu berbaring sambil membelakangi Alfian. Alfian mencebik. Dia tidak sangka Abirah agak kasar orangnya. Pada pertemuan pertama nampak ayu sahaja sehingga terpikat hatinya.
“Ceh! Tak sangka, aku kahwin dengan singa rupanya. Huh,” gumam Alfian sambil merebahkan badan bersebelahan Abirah lalu melelapkan mata.
******
Sudah genap tiga bulan tempoh perkahwinan Alfian dan Abirah. Namun, mereka hidup bagaikan orang asing. Alfian tidur di biliknya sendiri. Abirah juga begitu. Jika diikutkan hati Alfian, dia memang tidak mahu hidup begitu. Namun, Abirah yang mahukan begitu. Dia hanya mampu menurut. Dia faham situasi Abirah. Gadis itu perlu menghabiskan pengajian tahun akhirnya diperingkat ijazah. Ibu bapanya pula memaksa dia terikat dengan komitmen perkahwinan. Disebabkan patuh, Abirah hanya menurut. Namun, Alfian pula yang menjadi mangsa tempat Abirah melontarkan tunjuk perasaan. Nama sahaja lelaki yang sudah berkahwin, tetapi dia masih hidup seperti lelaki bujang. Alfian punya alasan tersendiri kenapa dia bertahan. Pertama, kerana tidak mahu menghampakan ibu bapanya dan juga ibu bapa Abirah. Dan kedua, dia sudah mula menyayangi Abirah sewaktu dia melafazkan akad lagi. Jadi, tidak kira bagaimana buruk sekalipun layanan Abirah terhadapnya, dia tetap akan mempertahankan rumah tangga mereka dan berdoa agar pintu hati Abirah terbuka untuk mencintainya.
“Awak,” sapa Abirah. Alfian yang sedang termenung jauh, tersentak. Pantas dia menoleh Abirah yang sedang memandangnya.
“Kenapa?” tanya Alfian. Abirah membuat muka bosan. Matanya kelihatan memandang sesuatu.
“Tu. Awak goreng telur ke rentungkan telur?” tanya Abirah sambil matanya memandang terus ke arah telur yang sedang rentung di dalam kuali. Alfian pantas mengalihkan pandangannya ke arah kuali yang berada di hadapannya. Terkocoh-kocoh dia menutup api lalu mengangkat kuali yang penuh dengan asap yang berkepul-kepul itu ke dalam sinki. Abirah hanya memandang perbuatan Alfian sambil berpeluk tubuh. Alfian terkulat-kulat apabila bertembung dengan pandangan sinis Abirah.
“Awak tak pergi kolej lagi?” tanya Alfian. Abirah geleng.
“Kelas cancel. Yang awak pergi rentungkan telur ni, awak tak pergi kerja ke?” balas Abirah. Dia mengetatkan mukanya seketat yang boleh walaupun dia sudah tidak tahan ingin mentertawakan Alfian. Alfian tersengih bagai kerang busuk.
“Saya kena terus pergi site hari ni. Jadi, saya ingat saya nak sarapan benjo sebelum pergi site. Tak sangka pulak jadi macam ni,” ujar Alfian. Akhirnya Abirah ketawa terkekeh-kekeh. Alfian memandang pelik.
“Kata pandai sangat masak. Ni apa cerita goreng telur pun rentung? Awak berangan apa? Nasib baik tak terbakar satu rumah,” bebel Abirah setelah tawanya reda. Dia yakin pasti Alfian berangan kerana dia tahu Alfian memang handal soal masak memasak. Panjang muncung Alfian.
“Habis tu, ada isteri pun isteri tak boleh buatkan sarapan,” perli Alfian. Bulat mata Abirah memandang Alfian apabila dia disindir begitu.
“Awak tak minta saya buatkan. Macam mana saya nak buatkan?” getus Abirah geram. Alfian mencebik.
“Eleh. Kalau saya minta awak buatkan pun, belum tentu awak nak buatkan,” ejek Alfian. Abirah menjeling geram.
“Baiklah encik suami. Meh saya buatkan sarapan untuk awak ya,” balas Abirah lalu menolak Alfian ketepi dan mencapai kuali untuk menggoreng telur. Alfian memerhati dalam senyuman.
******
Alfian pelik apabila melihat Abirah terbaring lesu di atas sofa ruang tamu rumah mereka pada jam 7 petang begitu. Kenapa Abirah tidur di situ? Selalunya jika gadis itu mahu tidur sekalipun, dia pasti akan tidur di bilik. Perlahan Alfian mendekati Abirah yang sedang tidur lena. Brief case di tangannya diletakkan di atas meja. Dia duduk di hadapan sofa sambil menatap wajah Abirah. Lembut tangannya membelai rambut isteri yang dicintainya itu. Alfian senyum mengenangkan hidupnya bersama Abirah. Walaupun mereka sering sahaja bertelagah, namun Abirah seorang isteri yang baik sebenarnya. Alfian memberanikan dirinya untuk menyentuh wajah Abirah. Namun tatkala menyentuh sahaja wajah Abirah, dia terkejut kerana suhu badan Abirah yang begitu panas. Barulah dia tahu kenapa Abirah berbaring di situ. Rupanya isterinya itu mengalami demam panas. Dia perlu membawa Abirah ke klinik. Jika tidak, demamnya akan bertambah teruk.
“Awak, bangun,” gesa Alfian. Perlahan Abirah membuka matanya.
“Kenapa? Pukul berapa ni?” tanya Abirah jalu. Alfian melepaskan nafasnya gusar.
“Dah Maghrib ni. Awak demam. Jom saya bawa awak pergi klinik,” ujar Alfian prihatin. Mendengar perkataan klinik, Abirah segera menggeleng.
“Tak nak,” pantas sahaja jawapannya. Alfian menggeleng. Dengan perasaan nekad, dia terus mengendong Abirah. Abirah yang lemah tidak berdaya tidak mampu melawan.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” tanya Abirah lemah. Alfian tidak menjawab. Dia segera membawa Abirah ke kereta. Setelah memasuki kereta, Alfian segera menghidupkan enjin.
“Nanti. Nanti,” arah Abirah lemah. Alfian menoleh.
“Kenapa?”
“Tudung. Awak nak biar orang tengok aurat isteri awak ke?” ujar Abirah. Baru Alfian teringat. Disebabkan terlampau kaget, dia sampai terlupa bahawa Abirah tidak memakai tudung.
“Sekejap saya ambil,” balas Alfian lalu tergesa-gesa turun. Tidak lama kemudian, dia memasuki kereta dengan membawakan tudung Abirah. Namun dia lihat Abirah sudah tidak berdaya dan memejam matanya. Pantas dia menyarungkan tudung itu di atas kepala Abirah. Entah mengapa, jantungnya berdegup kencang saat menyarungkan tudung itu di kepala Abirah. Bukan Alfian sahaja merasakan debaran itu, Abirah yang sedang lemah itu juga turut merasakannya.
******
    Disebabkan Abirah masih lemah, Alfian memutuskan untuk mengambil cuti  selama dua hari untuk menjaga Abirah. Selepas pulang dari klinik semalam, Abirah tidak mahu menjamah apa-apa makanan pun. Risau Alfian dibuatnya. Akhirnya Alfian memutuskan untuk menelefon ibu mertuanya untuk bertanyakan hidangan apakah yang membuka selera Abirah ketika gadis itu sedang demam.
    “Assalamualaikum, ma. Mama sihat?” tanya Alfian mesra.
    “Waalaikumussalam, menantu mama! Mama sihat, kamu dengan Ira macam mana?” balas Saadiah ceria. Alfian tersengih. Ibu mertuanya itu cukup sayang dengannya. Kerana dialah satu-satunya menantu wanita itu.
    “Afi sihat je ma. Ira yang tak sihat. Dia demam,” balas Alfian dengan suara gusar.
    “Ya Allah, sayang mama demam? Sejak bila?” tanya Saadiah bimbang.
    “Sejak petang semalam. Tapi, Afi dah bawa dia ke klinik dah. Cuma, sampai sekarang ni Ira tak nak makan. Afi tak tahu nak buat apa dah,” gumam Alfian. Kedengaran Saadiah mengeluh di talian.
    “Sayang mama memang macam tu, Afi. Tapi, kamu jangan risau. Kamu buatkan dia kek coklat je. Dia mesti nak makan,” ujar Saadiah. Bulat mata Alfian mendengar kata-kata ibu mertuanya.
    “Kek coklat?” tanya Alfian tidak percaya. Kedengaran suara Saadiah ketawa.
    “Ya. Kek coklat. Sejak kecil lagi, kalau Ira sakit dan tak selera makan, mama akan buatkan dia kek coklat. Lepas makan kek coklat je, dia terus selera nak makan benda lain,” jelas Saadiah. Walaupun masih tidak percaya, Alfian hanya mengangguk.
    “Tapi, kek tu kamu kena buat sendiri. Bagi dia makan masa panas-panas. Baru dia nak makan. Kalau kamu beli, dia tak akan makan,” tambah Saadiah lagi.
    “Oh. Macam tu. Kalau macam tu, Afi akan buatkan Ira kek coklat. Terima kasih mama. Assalamualaikum,” balas Alfian lalu menamatkan talian. Dia termenung sebentar.
    “Singa suka makan kek coklat? Nak yang panas-panas pula tu. Ceh, demand betul isteri kau Afi. Nasib baik aku pandai masak,” gumam Alfian sendirian sambil tersengih mengenangkan kemanjaan Abirah.
    ******
     Terkejut Alfian melihat Abirah berdiri di hadapan pintu ketika dia sedang menatang dulang berisi kek coklat yang baru sahaja keluar dari ketuhar bersama segelas teh kundur. Abirah memandang kek coklat yang ditatang Alfian dengan perasaan yang tidak percaya. Mamanya datang melawatkah?
    “Awak nak pergi mana?” tanya Alfian. Abirah membuat muka selamba. Kalau dia mengaku yang dia bangun kerana terbau bau kek coklat kegemarannya, sudah pasti dia sendiri yang malu nanti.
    “Saya nak pergi tandaslah,” balas Abirah cuba berselindung. Kecur air liurnya dengan bau kek coklat yang masih panas itu. Alfian sengih.
    “Tapi, tandas kat sebelah kiri sana,” duga Alfian. Terkena Abirah dibuatnya. Pantas dia memalingkan tubuhnya lalu berlalu ke arah tandas. Alfian hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah isterinya itu. Perlahan Alfian memasuki bilik Abirah lalu meletakkan dulang berisi kek itu di atas meja kecil bersebelahan katil Abirah.
    “Awak. Ni saya buatkan kek coklat untuk awak. Jangan lupa makan ya. Lepas makan, awak makan ubat tau. Saya nak turun bawah, nak kemas dapur,” pesan Alfian ketika Abirah berada di dalam tandas. Tidak lama selepas Alfian turun, Abirah segera keluar dari tandas.
    “Dia yang buat? Tapi, kenapa sama dengan bau kek coklat mama?” gumam Abirah tatkala menatap kek coklat cawan buatan Alfian. Dia segera mencapai satu kek coklat itu lalu disuakan ke mulutnya. Aromanya, rasanya dan teksturnya sama seperti kek coklat yang selalu dibuat oleh mamanya!
    “Tapi, kalau mama yang buat, takkanlah aku tak dengar langsung suara mama?” Abirah masih berteka-teki. Tetapi, tidak mustahil juga jika Alfian yang memasak kek coklat itu kerana Alfian memang pandai masak.
    Ketika sedang menikmati kek coklat cawan itu, dia merasakan demamnya mulai kebah sedikit. Dia juga dapat merasakan kasih sayang Alfian di dalam kek coklat itu. Tiba-tiba dia terkenangkan semua kenangannya selama dia menjalani hidup dengan lelaki itu. Dia akui, Alfian memang suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Walaupun kadang-kadang lelaki itu bersikap “annoying” namun lelaki itu tidak pernah memarahinya. Bahkan lelaki itu sering menggembirakan hatinya. Cuma dia sahaja sengaja membutakan matanya. Dia teringat bagaimana lembutnya Alfian menyarungkan tudung di atas kepalanya. Betapa kasihnya lelaki itu padanya lebih-lebih lagi tatkala mendukungnya. Sedikitpun lelaki itu tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya. Hatinya sebak.
    “Alfian. Terima kasih. Saya sayang awak,” ucap Abirah perlahan dengan juraian airmata terharu.
    ******
Berangin satu badan Abirah hari itu. Baru sahaja dia ingin melayan Alfian dengan baik. Muncul pula makhluk yang tidak diinginya. Seminggu selepas dia sembuh daripada demam, Alfian membawanya ke rumah ibu mertuanya. Dan dia tidak menyangka perkara sebegini terjadi kepadanya.
“Kek coklat abang Afi sedaplah. Nurul suka!” terngiang-ngiang kata-kata pujian sepupu Alfian itu di telinga Abirah. Mendidih hatinya.
Sepanjang perjalanan pulang, Alfian lihat wajah Abirah masam mencuka. Muncungnya pula panjang sedepa. Apa kena dengan isterinya itu? Selepas sembuh daripada demam, baik sahaja layanan Abirah terhadapnya. Hari ni, mengapa Abirah kembali menjadi dingin pula?
“Awak, kenapa ni? Masam je,” ujar Alfian perlahan. Abirah memalingkan wajahnya.
“Saya penatlah. Awak drive cepat sikit boleh tak? Ish,” rungut Abirah. Berkerut kening Alfian. Selalunya Abirah bising jika dia memandu laju. Hari itu, disuruhnya Alfian memandu laju pula?
“Okay,” itu sahaja jawab Alfian. Dia tidak mahu bertekak dengan Abirah.
******
Abirah memandang wajah Alfian yang sedang leka menonton Televisyen.
“Dia dah buat salah, tak minta maaf pun?” getus Abirah di dalam hatinya. Alfian masih lagi ralit menonton. Panjang sedepa muncung Abirah.
“Awak ada apa-apa nak beritahu saya ke?” tanya Alfian tiba-tiba. Tersentap Abirah dibuatnya. Namun, dia berterusan diam.
“Sepupu awak tu, awak rapat ke dengan dia?” tanya Abirah. Tembok keegoannya runtuh sedikit dek kerana rasa ingin tahu. Alfian memandang wajah Abirah.
“Rapat. Sejak kecil lagi. Dah macam adik beradik dah. Kenapa?” balas Alfian. Abirah mencebirkan bibir sambil berpaling daripada memandang Alfian.
“Yalah tu adik beradik. Bukan main mesra lagi. Siap buat kek sama-sama,” balas Abirah cemburu. Alfian berterusan memandang Abirah.
“Yalah. Awak tak nak buat kek sama-sama dengan saya. Dia tolonglah. Salah ke?” ujar Alfian. Abirah mengeluh.
“Tak salah, cuma,” Abirah terhenti berbicara. Dia tidak mahu Alfian tahu dia cemburu. Alfian sengih.
“Awak cemburu?” duga Alfian. Abirah pantas memandang wajah Alfian yang sedang memandangnya selamba.
“Perasan!” ejek Abirah. Alfian cuma senyum.
“Awak nak tengok TV ke tak?” tanya Alfian tidak mengendahkan ejekan Abirah. Abirah geleng. Melihat gelengan Abirah, Alfian pantas menutup suis lalu berdiri sambil memandang Abirah.
“Saya masuk tidur dulu ya. Selamat malam,” ucap Alfian sebelum berjalan membelakangi Abirah.
“Ya. Saya cemburu. Saya cemburu sebab saya dah mula sedar yang saya cintakan suami saya,” ucap Abirah tiba-tiba sambil memeluk Alfian dari belakang. Terkejutnya Alfian Allah sahaja yang tahu. Tidak lama kemudian, Abirah meleraikan pelukan. Alfian cuba memusingkan tubuhnya yang hampir beku itu lalu memandang wajah Abirah. Alfian memegang wajah Abirah dengan perasaan terharu.
“Maafkan saya buat awak cemburu. Saya tak tahu yang selama ni Nur Abirah yang saya cintai selama ni juga mencintai saya,” ucap Alfian perlahan. Mata Abirah berkaca. Pantas dia memeluk suaminya itu.
“Terima kasih, Ahmad Alfian sebab sudi jadi suami saya. Terima kasih kerana dah jaga saya dengan baik. Terima kasih kerana menyayangi saya. Terima kasih untuk semuanya,” ucap Abirah dengan linangan airmata. Alfian tersenyum gembira. Akhirnya Allah memakbulkan doanya. Perlahan dia meleraikan pelukan.
“Sama-sama isteriku sayang,” ucap Alfian sambil mengucup dahi Abirah dengan sepenuh kasih sayang.
“Saya satu soalan. Mana awak tahu saya hanya selera makan kek coklat masa demam?” tanya Abirah ingin tahu. Alfian tertawa kecil.
“Mama beritahu. Saya risau awak tak nak makan apa-apa langsung. Sedap tak?” balas Alfian. Abirah senyum.
“Sedap. Sedap sangat,” puji Abirah. Alfian senyum gembira.
“Terima kasih,” ucap Alfian. Abirah senyum.
“Sama-sama. Tapi, lepas ni, awak tak boleh bagi orang lain makan kek coklat tu melainkan saya seorang,” pesan Abirah. Berkerut kening Alfian.
“Kenapa?” tanya Alfian.
“Sebab dalam kek coklat encik suami saya, ada kasih sayang dan cinta. Saya tak nak orang lain rasa kasih sayang dan cinta tu selain saya seorang. Faham tak?” terang Abirah manja. Alfian tertawa kecil.
“Oh, patutlah jealous bila Nurul makan kek coklat tu,” balas Alfian. Abirah sengih. Tidak lama kemudian, dia juga turut tertawa bahagia sambil memeluk Alfian dengan sepenuh kasih sayang.

No comments:

Post a Comment